Mahkamah Cinta 9





BAB 9
Raffi menghela nafasnya perlahan. Tak dengar ke saja buat-buat tak dengar? “I said I’m sorry. Okay? Now, if you will excuse me..” Raffi mengangkat tangan halus milik Nadhrah yang sedang memegang lengannya kemudian meletakkan semula tangan gadis itu ke sisi. Dia bergerak ke lokasi kejadian dengan penuh gaya.
Nadhrah masih lagi terpinga-pinga. 
“O.. Oh.” Setelah termangu untuk beberapa minit, Nadhrah mengikut langkah Raffi lalu sampai di lokasi kejadian yang sudah pun dikelilingi dengan pita berwarna kuning yang tertulis ‘GARISAN POLIS’.
Raffi pelik melihat Nadhrah yang dari tadi asyik mengikuti langkahnya. Namun, gadis itu dibiarkan sahaja membuat halnya sendiri di belakang. Bibirnya masih lagi terkunci rapat. Dia berdiri di hadapan kelas tempat mangsa dijumpai tidak sedarkan diri selepas ditolak jatuh dari tingkat tiga sekolah itu. Raffi mendongak ke atas untuk melihat kelas di tingkat tiga yang didakwa menjadi tempat mangsa jatuh.
Nadhrah lihat Raffi sudah mula bercangkung di situ sambil matanya terpejam. Dia ni bomoh ke apa nak pejam-pejam mata pula? “Saya tak sempat nak temubual mana-mana kawan mangsa sebab dia orang semua sekolah pagi. Yang sekolah petang ni semua budak tingkatan satu.” Nadhrah memaklumkan lelaki itu sambil menarik lengan blausnya sedikit ke atas. Dia bercangkung di sebelah Raffi sambil memandang lelaki itu yang sedang sibuk merenung tempat di mana mangsa jatuh. Apa yang dia khusyuk sangat ni?
Raffi kembali membuka matanya kemudian terus menoleh ke arah Nadhrah yang sedang bercangkung di sebelahnya. Dia mengecilkan matanya. “Awak ni tak nak balik ke?” Dia tidak faham kenapa Nadhrah masih lagi di situ dan cuba untuk memaklumkan segala maklumat yang dia ada kepadanya.
Dahi Nadhrah berkerut. “I was just trying to help.” Geram juga Nadhrah apabila melihat Raffi seolah-olah tidak memerlukan pertolongannya. 
Sebagai seorang peguam yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang itu, Nadhrah merasakan yang dia perlu turun padang dan membantu Raffi walaupun hakikatnya dia bencikan lelaki itu.
Raffi tersenyum sinis. “Saya tak rasa awak perlu tolong saya sebab kes ni dah jadi kes saya. Bukan lagi kes awak.” Raffi lihat ada perubahan pada wajah gadis itu. Dia tidak berniat untuk menyinggung perasaan Nadhrah tetapi dia memang tidak suka diganggu apabila sedang sibuk membuat kerja. Kehadiran Nadhrah di situ sedikit mengganggu konsentrasi lelaki itu.
Nadhrah bingkas bangun daripada duduknya. Dia melibaskan rambutnya sedikit ke belakang sambil membuat muka tidak puas hati. “Kalau tak suka tengok aku menyibuk dekat sini, cakap je lah tak suka.” Dia bercadang untuk mengangkat kakinya dan beredar dari tempat itu. Nadhrah juga sudah tidak sanggup untuk menatap wajah lelaki sombong di sebelahnya itu. Ingat dia bagus sangat? Gadis itu menyumpah di dalam hati.
Raffi tergelak kecil. “You have to get rid of that attitude, you know?” Walaupun baru masuk tiga hari dia bekerja di pejabat itu tetapi Raffi seperti sudah boleh mengagak personaliti Nadhrah yang sebenarnya. Memang tidak dapat dinafikan yang Nadhrah seorang peguam yang hebat tetapi itu semua tidak berguna jika matlamatnya di dalam mahkamah hanyalah untuk menang semata-mata.
Kata-kata Raffi tadi kedengaran seperti satu kenyataan dan juga satu persoalan buat diri Nadhrah. Dia masih lagi berdiri di sisi lelaki yang sedang sibuk mencari sesuatu di atas lokasi kejadian dengan tangannya dilipatkan ke dada. 
“Excuse me?”
Raffi menoleh ke belakang lalu bingkas bangun. Dia meregangkan tangannya ke udara kemudian mencekak pinggangnya. 
“Berapa umur awak?” Satu senyuman sindiran terukir di bibir lelaki itu. Raffi sengaja menanya walaupun dia tahu yang ramai wanita tidak suka apabila lelaki menanya umur mereka.
Terasa seperti dirinya dihina, Nadhrah cuba mengawal perasaannya daripada cepat mengamuk. Dilihatnya keadaan sekeliling yang rata-ratanya sudah kosong. Kebanyakan pelajar-pelajar tingkatan satu sekolah itu sudah pun pulang ke rumah. 
“Lagi tua daripada awak. Kenapa? Awak ada masalah ke?" Bengang Nadhrah dibuatnya apabila Raffi mempersoalkan usianya.
“Jawab je lah, tak payah nak marah-marah.” Raffi menanya sekali lagi dengan muka ketat.
Nadhrah mengangkat keningnya sebelah kemudian meleraikan tangan yang dilipatkan ke dada tadi. 
“Saya 29 tahun.” Dia menjawab antara dengar dan tidak. Entah kenapa terbit rasa malu apabila seorang lelaki yang jauh lebih muda daripadanya menanya akan umurnya. Pipi Nadhrah mula merona merah.
Sekali lagi Raffi tergelak kecil. “Awak tak nampak macam 29 tahun.” Selamba sahaja lelaki itu menjawab kemudian kembali meneliti lokasi kejadian jikalau ada bahan bukti yang tertinggal dan harus diberi perhatian.
Nadhrah menghela nafasnya perlahan. Dia nak kata yang aku ni nampak tua ke? Tak guna punya budak! “Aw.. awak sepatutnya panggil saya cik Nadhrah! Ta.. tak pun panggil saya ka.. kakak. Apa-apa je lah yang boleh menampakkan yang awak hormat saya!” Nadhrah kedengaran seperti anak kecil saat dia meminta Raffi supaya menghormatinya sebagai seorang senior.
Raffi hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Dia meneruskan pekerjaannya tanpa menghiraukan Nadhrah di belakang. 29 tahun tapi perangai macam budak-budak. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.
“Saya dah periksa setiap inci kawasan ni. Memang tak ada bahan bukti lain yang tertinggal. Apa yang kita dapat dalam fail kes, itu semua bahan bukti yang pihak polis dah senaraikan.” Nadhrah menerangkan dengan teliti saat melihat lelaki itu sudah merangkak masuk ke dalam semak. Kesian pula aku tengok dia ni.
Seminit kemudian, Raffi merangkak keluar dari semak yang dia masuk tadi dengan wajah kusut. Dia kembali berdiri tegak sambil menghadap Nadhrah yang sejak dari tadi asyik menunggunya. 
“Saya bukannya nak cari bahan bukti.” Tangannya yang dikotori debu pasir itu ditepuk-tepuk supaya pasir itu jatuh.
Nadhrah bingung. “Dah tu awak nak cari apa?” Memikirkan semula apa yang Raffi lakukan sebentar tadi, tiada alasan lain yang dapat menerangkan perbuatan lelaki itu selain daripada mencari bahan bukti.
Raffi melipatkan tangannya ke dada. “Awak kata Naziera bersalah.” Lelaki itu memulakan bicaranya. Anak mata Nadhrah ditatapnya dalam. Kalau betul dia nak tolong Naziera, dia kena jujur dengan aku. Dia kena tolong aku. Raffi mula membuat andaian.
Nadhrah melihat lokasi kejadian dan mendiamkan diri. Seminit kemudian, dia berpaling semula ke arah Raffi lalu menganggukkan kepalanya perlahan. 
“Hmm..” Dia mengaku yang tanggapannya terhadap Naziera masih lagi sama.
Raffi mengecilkan matanya. “Awak tak rasa pelik ke? Kalau betul Naziera nak tolak budak perempuan tu, takkan dia nak tolak dekat kawasan terbuka macam ni? Kenapa dia tak buat dekat kawasan belakang? Macam.. makmal kimia ke?” Lelaki itu perasan ada sesuatu yang tidak kena. Memang tidak logik jika mangsa ditolak di tempat terbuka. Tambahan pula di waktu siang di mana ramai pelajar di sekolah.
Nadhrah berfikir sejenak sambil mengusap-usap dagunya kemudian menggelengkan kepalanya laju. Dia pandang Raffi dengan dahi berkerut. Keningnya diangkat sebelah. “Nak pelik apanya? Kalau dia dah nak tolak, dekat mana pun boleh jadi!”
Raffi tepuk dahinya. Dia ni kalau dah sekali dia cakap salah, memang sampai ke hujunglah kena salah! “Awak tak faham, Nadhrah. Naziera sekarang ni didakwa atas cubaan membunuh! Kalau betul dia nak tolak mangsa dari tingkat tiga, dia takkan buat dekat kawasan terbuka! Awak tak fikir ke kalau ada orang nampak, kemungkinan besar dia akan dibuang sekolah?”
Kali ini Nadhrah mengangguk perlahan. Betul juga apa yang mamat ni cakap..
*******
Aiman baring di atas katilnya. Skrin telefon bimbit iPhone yang baru dia beli dua bulan lepas ditatapnya lama. Dia sibuk melihat gambar-gambar yang dia ambil bersama Nadhrah sewaktu mereka makan bersama lebih kurang tiga hari lepas. Aiman tersenyum sendiri. Walaupun Nadhrah seorang yang agak panas baran, personaliti gadis itu akan berubah serta-merta apabila tiba waktu untuk bergambar.
“Aku cukup tak faham kenapa orang berebut-rebut sangat nak jadi peguam bela ni! Kerja dah lah banyak lepas tu gaji sikit je! Tapi, tiap-tiap tahun ada juga yang berpusu-pusu masuk dewan untuk temuduga.” Nadhrah meneliti kasut tumit tinggi yang baru dibeli sambil tangannya masih lagi kejap memegang tiang di dalam LRT itu untuk mengelakkan dia daripada jatuh.
Aiman tersenyum mendengar rungutan gadis itu. Kepala Nadhrah ditolaknya sedikit menggunakan jari telunjuk. Lelaki itu tergelak kecil melihat Nadhrah yang sedang menjelingnya dengan mata yang bulat. “Eleh, kau.. Tak ingat ke dulu kau juga yang berebut-rebut nak masuk untuk temuduga walaupun nama kau tak ada dalam senarai?”
Nadhrah tersengih malu. Dia masih ingat kali pertama dia berjumpa dengan Aiman adalah sewaktu mereka berdua menghadiri temuduga di mahkamah daerah. Kedua-duanya baru sahaja tamat belajar di peringkat ijazah dan ingin bekerja. Nadhrah memilih untuk menjadi peguam bela kerana gaji yang diberikan nanti lebih tetap.
Gadis itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Kes aku ni lain Man. Aku perlukan kerja cepat sebab nak kena hantar duit dekat mak aku di kampung tu. Dia dah tua mana larat nak buat kerja berat-berat.”
Jawapan Nadhrah tadi menarik perhatian Aiman. Lelaki itu tahu yang Nadhrah merupakan anak tunggal dan dia berasal dari kampung tetapi Aiman tidak pernah tahu kampung gadis itu di mana. “Oh.. Kononnya anak solehah lah ni?” Dia kembali mengusik gadis itu.
Nadhrah mengetap bibirnya sambil mencubit lengan lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya itu. “Diam kau.” Sempat lagi dia mengugut sebelum melabuhkan punggungnya di atas kerusi saat melihat seorang pelajar perempuan melangkah keluar dari ruang LRT itu.
*******
Ain melontar pandangannya jauh ke luar tingkap. Air rintik hujan masih lagi jatuh membasahi bumi. Mujurlah hujan tidak selebat tadi kalau tidak macam manalah dia hendak balik ke hostelnya nanti. Ain duduk termenung di meja kerjanya. Bekas berisi manik-manik yang pelbagai warna dibiarkan sahaja tersadai di tepi. Gadis itu mula mengelamun dan memikirkan tentang Raffi.
Sejak lelaki itu pulang ke Malaysia, Ain terasa hidupnya kembali ceria. Dia tidak perlu lagi melayan kerenah Naufal yang menyakitkan hati itu. Jika diberi 25 jam sehari sekali pun, kalau boleh Ain mahu menghabiskan masanya bersama dengan Raffi. Walaupun dia sibuk mengerjakan tugasannya sebagai pelajar tahun akhir dalam jurusan rekaan fesyen, Ain akan pastikan dia mempunyai waktu untuk diluangkan bersama Radffi walau sesibuk mana pun dia nanti.
Gadis itu tahu yang Naufal tidak senang dengan sikapnya yang suka menyibuk tentang hal Raffi tetapi Ain langsung tidak ambil peduli. Alah, Raffi tak cakap apa-apa pun!  Dia bukannya bencikan lelaki itu tetapi ada masa tingkahlaku Naufal yang sering mengekorinya ke mana sahaja dia pergi membuatkan dia rimas. Ain mahukan privasi!
KRING! KRING!
Dia mengerling ke arah telefon bimbitnya yang sedang menari di atas meja. Tertera nama Naufal di atas skrin telefon bimbit itu. Baru fikir pasal dia terus dia telefon aku. Panjang umur betul mamat ni. Dia mengeluh perlahan kemudian menjawab panggilan itu. 
“Hello.”
Di hujung talian sebelah sana, Naufal sudah mengukir senyuman. “Kau tengah buat apa Ain?” Lelaki itu menanya sambil mengemas fail-fail yang sudah berselerak di atas meja. Dia bingkas bangun daripada duduknya dan melangkah keluar dari dewan kuliahnya itu.
Mula dah perangai menyibuk dia ni. Ain memuncungkan bibirnya. “Kalau aku tengah basuh baju sekali pun kenapa kau nak sibuk?” Manik-manik yang berterabur di atas meja dikutipnya satu persatu kemudian diletakkan semula ke dalam bekas. Dia memandang semula ke luar tingkap untuk melihat sama ada hujan sudah berhenti atau pun tidak.
Naufal tergelak kecil. “Kau ni cuba berlembut sikit dengan aku.. Kasar macam ni kau rasa ada ke lelaki yang nak dekat kau nanti?” Lelaki itu berseloroh kemudian mengerling ke arah jam tangan yang sudah menunjukkan nombor lima. Agak-agak dia nak tak keluar minum dengan aku kalau aku ajak?
Ain terasa dirinya diperlekehkan oleh lelaki itu. Dia ingat ramai sangatlah perempuan nak dekat dia? Dia bangun daripada duduknya lalu mencekak pinggang. “Biarlah aku nak kasar ke nak lembut ke! Yang penting Raffi sayang juga dekat aku!” Ain pasang muka bangga lalu menutup bekas manik miliknya kemudian bekas itu diletakkan ke dalam beg.
Naufal jadi cemburu saat mendengar nama Raffi keluar daripada mulut Ain. Dia tidak pernah marahkan Raffi kerana dia tahu yang Raffi hanya menganggap Ain seperti kawan biasa sahaja. Almaklumlah, mereka sudah berkawan sejak di zaman sekolah menengah lagi. Tetapi, Naufal tidak dapat menahan rasa cemburu daripada meluap-luap saat mendengar Ain sering mengagung-agungkan nama kawan baiknya itu.
“Kau tak habis-habis dengan Raffi kau tu! Oh, Ain.. Cuba kau hargai sikit orang yang sayangkan kau bukan atas dasar rupa. Kau tak nampak ke semua tu?” Naufal cuba meluahkan perasaannya pada gadis itu secara tidak langsung dengan harapan yang Ain faham dengan maksud tersirat yang cuba dia sampaikan tadi.
Ain jadi bertambah marah. Dia berlari-lari anak ke arah cermin yang terletak di hujung bilik itu kemudian meneliti dirinya dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki. Kalau dia perlu memberi markah kepada dirinya berkenaan fesyen, Ain layak dapat 9/10! Rambutnya yang hitam lebat itu diberi potongan ala Jennifer Aniston sewaktu zaman komedi sitkom ‘Friends’ amat popular dalam kalangan remaja. Dia juga mengenakan seluar jeans denim bersama dres mengikut trend terkini.
Dia nak cakap aku ni tak cantik ke? Ain tidak dapat menangkap maksud tersirat yang cuba lelaki itu sampaikan. Dengan serta-merta, kata-kata Naufal tadi disalah ertikan. “Hargai orang yang sayangkan aku bukan atas dasar rupa? Eh, Fal! Kau nak cakap yang aku ni tak cantik ke? Haisy..” Dia memutuskan panggilan akibat terlampau marah akan lelaki itu.
Naufal sudah terpinga-pinga di hujung talian sebelah sana saat mendengar bunyi panggilan dimatikan. “Hello? Ain? Eei, budak ni selalu lambat pick up!” Dia mencampakkan telefon bimbitnya ke dalam beg sandang kemudian melangkah laju ke arah kafeteria. Niatnya untuk mempelawa Ain minum sekali dilupakan sahaja. Aku minum seorang je lah petang ni nampaknya..

Comments