Mahkamah Cinta 10


BAB 10
Raffi melangkah masuk ke dalam perkarangan hospital yang sibuk tambahan pula saat itu adalah waktu melawat. Orang ramai yang sudah membanjiri kawasan hospital tidak diendahkan. Dia menuju ke arah kaunter pertanyaan hospital itu.
“Ye, encik. Boleh saya bantu?” Seorang pekerja lelaki di kaunter pertanyaan itu mula menanya dengan senyuman terukir di bibir saat melihat Raffi meletakkan fail-fail kesnya di atas meja kaunter pertanyaan itu.
Raffi mengangguk perlahan. “Saya nak tahu pesakit bernama Azlin bt Maarof berada di wad nombor berapa?” Dia menyelongkar fail hitam yang dia letakkan di atas kaunter tadi sambil membawa keluar maklumat peribadi pihak pendakwa yang membuat dakwaan terhadap kliennya.
Pekerja lelaki itu pelik melihat tingkahlaku Raffi yang sedang menghulurkan kertas putih itu kepadanya. Raffi menunjukkan nama pesakit yang dia sebutkan tadi berserta nombor kad pengenalan gadis itu. 
"Sekejap ye encik.” Pekerja lelaki itu mula memasukkan nama dan nombor kad pengenalan yang diberikan oleh Raffi tadi ke dalam data.
Raffi menoleh ke kiri dan kanannya. Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya ke hospital. Kali terakhir dia ke rumah sakit merupakan saat dia mengenalpasti arwah ibu dan ayahnya. Dia juga sering ke hospital akibat sakit sewaktu kecil. Tetapi sejak melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, Raffi sudah bijak mengatur diet dan juga pemakanannya. Dia juga sudah tidak selalu datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Encik..”
Raffi menoleh semula ke arah pekerja itu kemudian mengangkat keningnya. “Ya?”
Pekerja lelaki itu mengukir senyuman kemudian menghulurkan semula kertas putih yang diberikan oleh Raffi sebentar tadi. “Pesakit yang encik sebutkan tadi berada di tingkat enam. Wad 6A katil nombor dua belas.” Dia meneliti fizikal Raffi dari atas sehingga bawah namun tidak dapat mengagak pekerjaan lelaki itu.
Raffi mengangguk. “Okey, terima kasih.” Dia terus mengatur langkahnya menuju ke arah lif yang sudah terbuka. Dia sempat melangkah masuk ke dalam ruang lif kerana ada seorang pemuda bermurah hati untuk menahan lif itu buatnya.
*******
Azlin mengukir senyuman saat melihat Raffi melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang disediakan di tepi katilnya. Walaupun dia tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia pasti yang Raffi datang ke mari untuk berjumpa dengannya. “Ab.. abang ni si.. siapa?” Dia menanya dengan suara terketar-ketar kerana sedang menahan sakit.
Raffi turut tersenyum. Ditelitinya fizikal gadis itu yang sudah berbalut di merata-rata tempat. Dia sempat bersembang dengan doktor yang merawat Azlin dan katanya kaki gadis itu sudah patah akibat jatuh dari tingkat tiga. Dua tulang rusuk kiri milik Azlin turut juga patah membuatkan gadis itu tidak boleh banyak bergerak.
“Nama saya Ahmad Raffi. Saya peguam bela yang mewakili Naziera. Saya datang nak tanya awak tentang Naziera.” Dia mula membuka beg kerjanya lalu membawa keluar sebuah buku nota berserta pen hitam. Dia kembali menatap wajah gadis yang sedang terbaring di hadapannya itu.
Senyuman Azlin mulai luntur saat mendengar nama Naziera menerpa gegendang telinga. Dia melontarkan pandangannya ke luar tingkap. “Sa.. saya tak ada ap.. apa lagi nak ca.. cakap. Kalau ab.. abang ada apa-apa pertanyaan, abang boleh tanya dengan pe.. peguam saya.”
Raffi masih lagi dengan muka ketatnya. “Saya cuma ada beberapa soalan saja nak tanya awak. Saya janji lepas ni saya akan terus pergi kalau awak jawab pertanyaan saya dengan jujur.”
Malas hendak menarik perhatian orang ramai yang sudah mula memandang ke arah mereka, Azlin sekadar mengangguk. “Ok.. okey.” Dia memalingkan semula wajahnya ke arah Raffi yang masih setia menanti.
“Saya difahamkan yang awak dan Naziera kawan baik sejak kecil. But, you stop talking to each other like four years ago. Apa yang dah jadi?” Raffi mula menyoal gadis itu dengan tenang. Pen hitam yang dipegang di tangan kanan mula menari di atas buku nota kecilnya.
Azlin berdehem perlahan dan cuba membuang rasa gugup. Dia menundukkan kepalanya ke bawah sambil bermain-main dengan hujung bucu bajunya. “Yes, we were once bestfriends until I found out that her mother is married to my father. Sejak itu, Naziera rampas segala-galanya daripada keluarga saya.” Hati Azlin jadi panas. Semenjak ayahnya berkahwin dengan ibu Naziera, keluarganya jadi tunggang-langgang.
Raffi mengerling ke arah gadis itu. “Jadi, sebab itu awak buat dakwaan yang Naziera tolak awak dari tingkat tiga? Betul?” Jari jemarinya berhenti bergerak. Dia menatap jauh ke dalam anak mata Azlin dan cuba untuk mencari kebenaran.
“Sa.. saya tak tuduh! Memang dia ya.. yang tolak saya dari tingkat tiga!” Azlin kembali gugup saat diterjah begitu. Dia tidak berani untuk bertentang mata dengan peguam lelaki yang sedang menyoalnya saat itu.
Raffi mengangkat keningnya. Dahinya mulai berkerut. “Awak tahu tak tuduhan cubaan membunuh ini berat? Naziera boleh masuk penjara kalau dia betul-betul didapati bersalah.” Lelaki itu masih cuba mengawal perasaannya dengan bersikap tenang.
Azlin tersenyum sinis. “Biarlah dia masuk penjara. She doesn’t know what my family and I have been through all these years! Selama empat tahun ni, saya hidup dalam penjara yang dia buat! Sekarang biar dia rasakan balik semua tu!” Dia akan berasa puas jikalau Naziera dimasukkan ke dalam penjara walaupun gadis itu ternyata tidak bersalah.
Raffi menghela nafasnya perlahan. “Matter of fact she is still part of your family. And you, her sister.” Lelaki itu membetulkan tali leher yang dipakainya kemudian terus bangun dan berlalu pergi meninggalkan Azlin bersendirian di katilnya.
*******
Aiman bangun daripada duduknya sambil membetulkan kot hitam yang dipakai. Anak guamannya dipandang sekilas kemudian dia mula berjalan ke hadapan hakim dan berdiri di situ. Dia menoleh ke arah pihak pendakwa yang sedang memandangnya dengan pandangan tajam. “Yang Arif, defendan baru sahaja kehilangan ibunya yang menghidap penyakit diabetes tiga tahun yang lalu. Sekarang dia terpaksa menyara tiga orang adik dan ayahnya yang menghidap penyakit jantung. Saya mohon Yang Arif mengurangkan hukuman terhadap defendan kerana umurnya yang masih muda.”
Aiman kasihan melihat anak guamannya itu. Walaupun pemuda itu mengaku yang dia mencuri suratkhabar itu beberapa kali, tetapi dia lakukan semua itu kerana ingin mencari wang buat menyara keluarganya yang susah. Dengan mengumpul suratkhabar yang dicurinya, pemuda itu dapat menjualkannya kepada pengumpul kertas-kertas terpakai. Hasil jualan itu boleh digunakan untuk membeli roti buat adik-adik yang menunggu di rumah.
Pendakwa wanita itu bingkas bangun daripada duduknya. Dia menjeling ke arah Aiman tanpa rasa takut. Jelas kelihatan yang gadis itu jauh lebih muda daripada Aiman tetapi langsung tidak nampak riak bimbang atau gugup pada gadis itu. “Bantahan, Yang Arif! Tertuduh berhak disaman RM10 000 kerana perbuatannya mencuri suratkhabar itu bukan sekali tetapi lebih daripada lima kali! Anak guam saya telah menfailkan saman terhadap beliau beberapa kali tetapi tertuduh diberi ikat jamin kerana waktu itu defendan masih lagi bawah umur!”
Aiman sudah bengang dengan gadis itu. Dia ni hati kering ke apa?! “Yang Arif, defendan masih lagi belum berumur 18 tahun dan berhak diikat jamin!” Dia menjerkah ke arah gadis yang sudah berdiri di samping mejanya.
“Pendakwa sila duduk..”
Hakim mahkamah seksyen itu mengarahkan pendakwa wanita itu untuk kembali melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Gadis itu menurut dan dengan perasaan marah dia menghenyakkan punggungnya sambil melihat Aiman yang masih lagi berdiri di hadapannya. Dia menoleh semula ke arah hakim mahkamah dengan tenang.
“Defendan bernama Mohd Amin bin Mohd Syafie.. sila bangun.”
Hakim lelaki yang berumur awal 40-an itu berdehem perlahan sambil membetulkan tali leher hitam yang dipakainya. Dia mengerling ke arah anak muda yang sedang duduk di meja belakang Aiman. Budak lelaki itu hanya menurut. Aiman kembali ke tempat duduknya dengan perasaan amarah yang masih lagi berbaki.
Lelaki tua itu membetulkan cermin mata yang dipakainya kemudian meneliti kertas putih yang sedang dia pegang. Setelah beberapa minit kemudian, dia kembali memandang wajah anak muda yang sedang berdiri di hadapannya itu. Keadaan di dalam bilik perbicaraan itu menjadi senyap dengan serta-merta.
“Setelah meneliti kes yang dibicarakan, defendan iaitu Mohd Amin bin Mohd Syafie didapati bersalah kerana mencuri suratkhabar percuma yang diletakkan di luar perpustakaan awam negeri. Tertuduh juga didapati mengulangi aktiviti ini beberapa kali dan didapati bersalah kerana menyalahgunakan kemudahan awam yang telah disediakan. Tertuduh juga disaman RM10 000 oleh syarikat penerbitan suratkhabar tersebut. Disebabkan tertuduh masih lagi di bawah umur dan juga tidak berkemampuan, mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dengan ikat jamin sebanyak RM5 000. Kes ditutup.”
Hakim lelaki itu mengetuk papannya sebanyak tiga kali sebelum bingkas bangun daripada duduknya dan berjalan pergi sambil diiringi oleh dua orang lagi pembantu. Orang ramai yang menghadiri perbicaraan petang itu juga sudah mula melangkah keluar dari bilik perbicaraan itu.
Aiman meraup wajahnya beberapa kali. Dia kecewa kerana tidak dapat membantu anak guamannya itu. Sambil melihat anak guamannya yang sudah dibawa pergi oleh dua orang pegawai polis yang bertugas, Aiman mengerling ke arah pendakwa wanita yang sedang mengemas fail-fail yang dia bawa masuk ke dalam bilik mahkamah itu.
Lelaki itu menarik beg kerja yang dia letakkan di kerusi sebelah lalu mengatur langkahnya ke arah pendakwa wanita yang sedang berjalan ke arah pintu keluar. Aiman tarik tangan gadis itu dengan kasar membuatkan langkah gadis itu terhenti. 
“Awak tahu tak apa yang buat dekat budak tu?” Aiman masih lagi cuba menahan marah. Dia tidak mahu disebabkan kata-katanya nanti akan timbul pula pergaduhan di dalam bilik mahkamah itu.
Gadis itu merenung jauh ke dalam mata Aiman yang masih lagi sedang memegang pergelangan tangannya yang kecil itu. 
“Lepaskan.” Dia tidak menjawab soalan yang diajukan lelaki itu tadi sebaliknya mengarah Aiman supaya melepaskan semula pegangannya.
Aiman masih lagi berdegil. “Budak tu ada tiga orang adik dekat rumah! Dia kena jaga ayah dia yang sakit dan awak masih lagi berkeras untuk dakwa dia dengan tuduhan mencuri?! Apa yang adik-adik dia nak makan dekat rumah tu nanti kalau abang dia masuk penjara?!” Lelaki itu sudah tidak boleh menahan perasaan amarahnya dan terus mengamuk dengan serta-merta.
Gadis itu mula mengetap bibirnya. Kau ingat kau seorang je yang boleh mengamuk? “Dia masuk penjara atas perbuatan dia sendiri! Awak patut bernasib baik yang anak guam awak tak perlu bayar RM10 000 pada syarikat yang saya wakili! Dan lebih baik awak lepaskan tangan saya sekarang sebelum saya dakwa awak atas tuduhan cuba menyakiti fizikal saya!” Dia mencampakkan tangan lelaki yang sedang memegang pergelangan tangannya itu ke sisi. Pendakwa itu mula melangkahkan kakinya ke arah pintu keluar.
Aiman tersentak melihat perbuatan gadis yang jauh lebih muda daripadanya itu. Dia menoleh semula ke arah pendakwa itu dengan perasaan marah yang masih berbaki. Aiman membuka cermin matanya lalu menundingkan jarinya ke arah gadis itu. 
“Pendakwa hati kering!”
*******
Raffi melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia mengeluh panjang sebelum meneliti fail-fail baru yang diberi oleh Valerie sebentar tadi. Lelaki itu sudah keletihan akibat lama berada di mahkamah seksyen untuk menghadiri perbicaraan Naziera yang didakwa atas cubaan membunuh rakan sekolahnya. Perbicaraan itu masih lagi berlanjutan dan ditunda ke Rabu minggu hadapan pula. Dia meraup wajahnya beberapa kali.
“Encik Raffi okey?”
Raffi menoleh ke sebelah untuk melihat Valerie yang sudah tersenyum manis ke arahnya. Lelaki itu menganggukkan kepalanya perlahan kemudian membalas senyuman itu. Dia kembali meneliti fail kesnya di atas meja. 
“Saya okey. I’m just tired that is all.” Dia memberitahu sambil menarik pen hitam yang diletakkan di dalam bekas.
Valerie menyambung pekerjaannya sambil mengerling ke arah Nadhrah. Gadis itu sedang sibuk menekan papan kekunci pada komputer ribanya. Valerie tersenyum. 
“Biasalah Encik Raffi. Peguam bela ni bukannya senang. Dalam sebulan boleh dekat tiga puluh kali masuk mahkamah tu. Lama-lama nanti okeylah tu. Tengok macam cik Nadhrah kita. Dah lima tahun dia kerja dekat sini. And she is doing great! Kan cik Nadhrah?”
Nadhrah masih lagi sibuk dengan pekerjaannya. “Hmm..” Dia memberi respons dalam nada malas sekadar ingin menjaga hati kerani itu. 
Selama lima tahun dia bekerja di pejabat itu, Nadhrah jarang bersembang dengan Valerie. Tetapi, dia cukup rapat dengan gadis itu dan boleh dibawa bersembang jika ada sesuatu yang hendak dia ajukan.
Valerie juga tidak pernah ambil hati dengan sikap gadis itu kerana dia tahu yang pekerjaan sebagai seorang peguam bela awam ini amat memenatkan dan sudah pasti Nadhrah tidak mahu selalu diganggu. Oleh itu, dia hanya akan menyahut jika Nadhrah memanggilnya sahaja. Valerie bangun daripada duduknya sambil mengemas mejanya supaya tidak kelihatan terlampau bersepah.
Dia harus ke kedai fotostat sebentar lagi kerana mesin fotostat di pejabat mereka sudah rosak. Semua dokumen yang harus dihantar ke kedai fotostat dicapainya kemudian dimasukkan ke dalam beg. Dia menyisir rambutnya agar kelihatan lebih kemas kemudian menoleh ke arah Raffi dan Nadhrah yang masih lagi sibuk dengan pekerjaan masing-masing.
Valerie mengerling ke arah jam tangannya kemudian menoleh ke arah Nadhrah semula. “Saya nak keluar pergi hantar dokumen ni dekat tingkat bawah sekejap. Lepas tu nak ke kedai fotostat untuk buat salinan dokumen Encik Aiman. Nanti saya terus balik ke rumah. Kalau cik Nadhrah nak balik lambat lagi hari ini, saya boleh tolong maklumkan dekat pengawal keselamatan.” Sempat lagi gadis itu menanya sambil membetulkan tali beg sandangnya yang sudah jatuh daripada bahu.
Nadhrah berhenti menaip sambil mengangkat wajahnya dan memandang gadis yang sudah berdiri di hadapan mejanya itu. Dia berfikir sejenak sebelum menyambung semula pekerjaannya. 
“Okey. Bagi tahu dekat pengawal tu saya balik lewat malam ni.” Dia memusingkan kerusinya sambil mencapai fail hitam yang tersusun kemas di dalam rak. Sebolehnya dia hendak menghabiskan semua kerjanya secepat mungkin sebelum pulang ke kampung halamannya hujung minggu itu.
Valerie mengangguk lantas tersenyum. “Baiklah kalau macam tu. Saya pergi dulu ye cik Nadhrah?” Dia mengatur langkahnya ke arah pintu pejabat itu dan sempat menundukkan kepalanya ke arah Raffi. Lelaki itu sekadar mengukir senyuman dan turut menundukkan kepalanya.

Comments