Mahkamah Cinta 8




BAB 8
BEEP! BEEP!
Deringan jam loceng yang kuat itu mengejutkan Raffi. Dia terjaga daripada tidur tidak lama kemudian dan terus mencapai jam loceng yang dia letakkan di meja sebelah. Ditekannya kepala jam loceng yang bergerak-gerak itu untuk menghentikan deringan yang memekakkan telinganya. Raffi meraup wajahnya kemudian berjalan keluar dari katil. Dengan berat hati, dia melangkahkan kakinya ke arah bilik mandi.
Kedengaran bunyi pancuran air jatuh ke lantai. Raffi gemar mandi air sejuk walaupun di waktu pagi kerana air sejuk itu dapat memberikan kelegaan pada dirinya. Dia akan lebih bertenaga jika begitu. Usai membersihkan dirinya, lelaki itu melangkah keluar dari bilik mandi dengan hanya memakai tuala yang diikat di pinggang. Dia mengelap badannya yang masih basah lalu menyarungkan sehelai singlet pagoda berwarna putih dan kain pelikat. Kemudian, dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim untuk menunaikan solat fardu Subuh.
Raffi terduduk di tikar sembahyang usai membaca doa. Dia teringat kenangan bersama ibu dan ayahnya sewaktu kecil dahulu. Sudah hampir dua belas tahun mereka berdua meninggalkannya dan kejadian itulah yang membuatkan Raffi matang. Dia tidak akan bergantung dengan orang lain kerana sudah terbiasa hidup sendiri.
“Kita ni orang susah bang! Mana mampu nak menjaga anak si Zaki tu! Anak kita sendiri pun ada enam orang! Saya cakap awal-awal yang saya tak nak jaga dia bang!” Rokiah memberitahu suaminya sambil mencekak pinggang. Dia bukannya tidak suka pada Raffi, tetapi dia tidak mahu Raffi menjadi beban kepada keluarganya.
Zarul mengangguk laju. “Iye, abang tahu tu! Tapi si Raffi tu mana ada saudara lain dah? Kita ni je lah yang tinggal! Abang dengan arwah si Zaki tu kan dua beradik je? Awak ni..” Zarul sendiri buntu sama ada hendak menjaga Raffi ataupun tidak.
Rokiah menggeleng laju. “Abang cuba fikir? Duit gaji abang nak bagi makan anak-anak abang ni pun tak cukup. Lepas tu nak ambil si Raffi tu? Lagilah tak cukup! Makan nasi kosong dengan ikan masin je lah anak-anak kita ni nanti!” Dia menyuap nasi ke dalam mulut Aqid yang baru sahaja masuk umur tiga tahun.
Zarul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia baru teringat akan perbualannya bersama dengan peguam keluarga arwah abangnya tadi. Zarul tersenyum lebar. “Haa, abang baru teringat ni!”
Rokiah mengangkat keningnya. “Apa dia?”
“Pagi tadi abang ada bersembang dengan peguam keluarga arwah si Zaki tu. Katanya, si Zaki tu ada tinggalkan harta untuk anak dia. Duit pampasan insurans dia pun dapat dekat si Raffi tu. Kalau kita jaga Raffi, mungkin kita akan dapat sikit daripada duit yang arwah tinggalkan untuk Raffi. Awak tak rasa macam tu?” Zarul mula memasang idea membuatkan Rokiah setuju dengan cadangannya.
Raffi mengeluh perlahan lalu bangun daripada duduknya. Dia melipat sejadah yang digunakan lalu diletakkan semula ke tempat yang sepatutnya. Kemeja lengan panjang berwarna biru muda yang dia sangkutkan di hadapan almari ditariknya. Tubuh yang hanya berbajukan singlet pagoda tadi kini sudah dipakaikan kemeja. Raffi melangkahkan kakinya ke ruang dapur untuk bersarapan.
Sambil membaca berita di telefon bimbit, dia menarik secangkir kopi panas yang dia buat tadi lalu disuakan ke bibir. Kopi panas itu ditiup dahulu sebelum dihirup. Riak wajah Raffi tenang sahaja saat membaca berita di telefon bimbitnya itu. Setelah menjamah dua keping roti bersama mentega, dia mengerling ke arah jam tangan dan terus bergerak ke tempat kerjanya.
*******
Nadhrah berjalan keluar dari bilik perbicaraannya dengan perasaan marah. Untuk kali pertama dalam hidupnya, dia kalah kepada pihak pendakwa dan tidak dapat mempertahankan hak kliennya. Sebelum ini, Nadhrah tidak pernah kalah dengan mana-mana pendakwa. Dia cuma akan mengaku bersalah jika dia benar-benar yakin bahawa kliennya melakukan jenayah itu. Tetapi kali ini tidak.
Nadhrah bengang kerana kliennya terpaksa membayar wang pampasan kepada pihak yang mendakwa. Nasib baik duit, kalau kena hukuman penjara tak ke naya? Nadhrah masih ingat kata-kata profesornya sewaktu di universiti dahulu. Biarlah sepuluh orang yang bersalah terlepas, tetapi jangan sampai seseorang yang tidak bersalah dipenjarakan. Kata-kata itu sering menghantuinya setiap kali ada perbicaraan.
Nadhrah melangkah masuk ke dalam pejabatnya dengan langkah yang berat. Kedengaran bunyi hentakan kasut tumit tingginya itu menghiasi setiap pelosok ruang pejabat itu. Aiman arif benar dengan perangai gadis itu.
“Kalah ke, Nad?” Dia menanya Nadhrah dengan riak wajah prihatin. Pen hitam yang dia pegang tadi diletakkan ke atas meja. Aiman tenung wajah gadis itu dari jauh.
Nadhrah mengeluh perlahan. Dia berjalan ke arah ruang kerjanya kemudian melabuhkan punggungnya ke atas kerusi. “Lagi nak tanya?” Dia meraup wajahnya beberapa kali sebelum meletakkan kepalanya ke atas meja. Lama dia begitu.
Aiman menggeleng perlahan. “Adatlah tu, Nad. Takkan selama-lamanya kau nak menang?” Dia menyusun fail-fail yang bersepah di atas mejanya kemudian menarik botol air mineral yang dia letakkan di hujung meja. Penutup botol air mineral itu dipusingkan dengan lembut.
Nadhrah mengeluh berat. Dah lah kes dengan budak perempuan hari tu kena rampas dengan mamat sombong tu. Dia mengangkat wajahnya kemudian menoleh ke arah Aiman yang masih lagi berada di ruang kerjanya. Gadis itu memuncungkan bibirnya. “Kau rasa patut tak aku berhenti je jadi peguam?”
Pertanyaan Nadhrah tadi membuatkan Aiman tersedak. Botol air mineralnya diletakkan semula ke atas meja. Wajah kusut gadis itu ditenungnya lama sebelum dia membuka mulutnya untuk berbicara. “Apa kau cakap ni Nad?” Aiman pelik melihat kelakuan gadis itu yang tidak seperti biasa.
Nadhrah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Entahlah, Man. Dah lah kes dengan budak perempuan hari tu kena rampas dengan peguam sombong tu! Lepas tu, aku kalah pula kes hari ni.” Dia memberitahu lelaki itu sebelum meletakkan semula kepalanya ke atas meja.
Aiman menggeleng kepalanya perlahan. Dia jarang melihat Nadhrah mudah berputus-asa sebegitu rupa. Kebiasaannya, Nadhrahlah satu-satunya orang yang paling bersemangat apabila tiba masanya untuk ke mahkamah. “You’re being totally ridiculous right now. Eh, kau tau tak yang kau nampak macam loser sangat sekarang ni?”
Nadhrah bengang apabila mendengar lelaki itu berkata begitu. Dia mengangkat semula wajahnya kemudian menjegilkan matanya ke arah Aiman. “Apa kau cakap tadi?” Tidak pernah sekali pun dalam hidupnya, dia mendengar Aiman berkata dia seorang yang cepat mengalah.
Aiman menganggukkan kepalanya. “Iyelah! Baru kalah sikit dah nak mengalah? Kau tak macam tu lah Nad. You are a fighter! Tentang kes kau yang kena rampas dengan Raffi hari tu. Kau cakap dekat dia yang kau senior dekat pejabat ni kan? Buktikan dekat dia yang kau ni lebih handal daripada dia! Do your best to get that case back!” Dia cuba untuk memberi galakan kepada gadis yang dia sayangi itu.
Nadhrah mula mengukir senyuman. Betul juga apa Man cakap tadi. “You think I should do that?” Dia menanya lagi persis anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Untuk pertama kali dalam hidupnya, Nadhrah cuba mendengar nasihat Aiman.
Aiman mengemas meja kerjanya kemudian menarik beg kerja yang dia sangkutkan di tepi kerusi. Dia bangkit daripada duduknya sambil membetulkan kaca mata yang dipakai. “Of course you should! Hmm, aku ada perbicaraan sekarang ni. Kau nak balik dah ke?”
Nadhrah sekadar mengangguk. Otaknya sedang ligat mencerna nasihat-nasihat yang lelaki itu berikan sebentar tadi.
Aiman sekadar tersenyum. “Kalau macam tu aku pergi dulu.”
“Hmm.” Nadhrah menjawab selamba.
*******
“Saya peguam bela pelajar bernama Naziera bt Azman Hizam. Saya dah dapatkan kebenaran pengetua sekolah ni untuk jalankan penyiasatan saya sendiri. Boleh saya masuk?” Raffi menunjukkan pas peguamnya kepada pengawal keselamatan yang sedang berdiri di tepi pondok pengawal itu.
Pengawal keselamatan lelaki yang berumur awal 50-an itu tersenyum kemudian menganggukkan kepalanya laju. “Lah, pakcik ingatkan dia orang hantar seorang je peguam? Ada dua orang rupanya! Haa, masuklah encik. Masuk!” Dia menunjukkan jalan ke lokasi penyiasatan yang dimaksudkan.
Raffi bingung. Dua orang peguam? Dia menoleh ke arah pengawal keselamatan itu. “Dah ada peguam lain yang datang ke pakcik?” Dia menanya sambil menyingsing lengan baju kemeja berwarna biru muda yang dia pakai itu sehingga ke paras siku.
Lelaki tua itu mengangguk. “Kalau tak silap pakcik, peguam perempuan tu datang lebih kurang setengah jam lepas.” Dia memaklumkan kepada Raffi yang sudah musykil siapa gerangan peguam yang dimaksudkan.
“Peguam perempuan?” Raffi bertambah bingung apabila mendapat tahu yang seorang peguam perempuan sudah datang ke sekolah itu terlebih dahulu. Setahu dia, kes ini sudah dipindah milik kepadanya. Siapa pula peguam perempuan ni?
Sekali lagi lelaki tua itu menganggukkan kepalanya. “Tu ha!” Dia menundingkan jarinya ke arah peguam wanita yang dimaksudkan kemudian menoleh ke arah Raffi.
Mulut Raffi sedikit terlopong. Pelik melihat kelibat peguam yang pengawal keselamatan itu maksudkan tadi berada di sekolah itu. Apa pula dia buat dekat sini? “Hmm, tak apalah pakcik. Saya boleh buat sendiri lepas ni. Terima kasih ye?”
Raffi mengangkat kakinya lalu beredar dari tempat itu. Beberapa saat kemudian, dia menoleh semula ke belakang untuk melihat pengawal keselamatan yang menemaninya tadi. Lelaki tua itu sudah pun berlalu pergi meninggalkannya. Langkah Raffi semakin laju menuju ke arah peguam wanita yang sedang bercangkung di sebelah pasu bunga.
“Ahhhhhhhhhhh!”
Langkah Raffi terhenti saat mendengar peguam wanita itu menjerit kepenatan. Untuk seketika, dia hanya meneliti sahaja gerak geri peguam yang tadinya bercangkung kini sudah terduduk di tepi pasu bunga. Skirt hitam yang dipakainya langsung tidak diendahkan jikalau kotor terkena pasir ataupun tidak.
“Dah setengah jam aku dekat sini tapi habuk apa pun tak ada!” Gadis itu merungut kepenatan lalu menghenyakkan punggungnya di atas tanah. Dia langsung tidak kisah skirt hitam kegemarannya itu kotor akibat terkena pasir.
Raffi mengangkat keningnya kemudian mengerling ke arah jarum jam tangan yang sudah menginjak ke nombor lima. Dia berpaling semula ke arah peguam wanita itu. “Awak buat apa dekat sini cik Nadhrah?” Lelaki itu menegur dalam nada suara mendatar.
Nadhrah terkejut. Dengan pantas dia memalingkan wajahnya ke sebelah untuk melihat lelaki yang menegurnya sebentar tadi. Saat melihat susuk tubuh Raffi dengan wajah bingungnya sendiri berdiri di hadapannya itu, Nadhrah terus menunduk ke tanah. Dia menggigit bibirnya. Haisy, apa pula mamat ni buat dekat sini? Dia bingkas bangun daripada duduknya sambil mengibas belakang skirtnya yang sudah dikotori dengan pasir.
Nadhrah buat muka selamba sambil melipatkan tangannnya ke dada. “Sa.. saya datang na.. nak ambil adik saya.” Dia cuba melarikan diri daripada dibelenggu rasa malu dengan cara menipu. Rambutnya disisirnya ke belakang telinga.
Raffi menganalisa keadaan sekeliling. Dilihatnya pelajar-pelajar sekolah perempuan yang baru keluar dari kelas petang itu. “Adik awak baru tingkatan satu ye cik Nadhrah?” Dia tahu yang gadis itu cuba menipunya. Raffi tahu yang Nadhrah berada di situ untuk membuat siasatannya sendiri. Lelaki itu mengukir senyuman saat melihat Nadhrah cuba memasang alasan lain pula.
Nadhrah memuncungkan bibirnya. Buat apa aku nak tipu dia lagi? Lebih baik aku balik. “Kenapa awak banyak tanya sangat ni? Why am I talking to you anyway? Dah lah, saya nak balik!” Dia menarik beg tangan yang dia letakkan di atas tanah tadi kemudian disangkutnya semula ke bahu. Nadhrah masih lagi berfikir sama ada hendak beredar ataupun tidak. Dia masih lagi tidak puas hati kerana belum menemui sebarang bukti yang dapat dia gunakan untuk kes pelajar perempuan itu nanti.
Raffi hendak tergelak melihat tingkahlaku Nadhrah yang seperti anak kecil itu. “Okey, baliklah. Have a safe ride back home.” Raffi cuba memancing Nadhrah untuk terus berada di lokasi kejadian. Dia melangkahkan kakinya ke arah tempat yang sudah dilekatkan dengan pita dari jabatan penyiasatan polis.
Nadhrah bengang. Tingkahlaku Raffi tadi seolah-olah mencabar kredibilitinya sebagai seorang peguam. Lelaki itu seolah-olah menganggap dia sebagai seorang peguam yang mudah berputus-asa. Nadhrah berpaling semula lalu mengikuti langkah lelaki itu dari belakang. “Tarik balik apa yang awak cakap dekat saya masa di pejabat hari tu!” Dia mencekak pinggangnya dan berhenti berjalan.
Raffi mematikan langkahnya kemudian berpaling ke belakang. Dia meletakkan beg kerjanya di sebelah pasu bunga kemudian berdiri tegak di hadapan Nadhrah. “Which word?” Dia tahu apa yang gadis itu maksudkan tetapi Raffi masih lagi tetap dengan pendiriannya. Dia tidak akan menarik semula kata-katanya. Dia juga tidak kisah jika Nadhrah hendak menganggap yang dia itu sombong. Hakikatnya, kelakuan Nadhrah tempoh hari memang tidak beretika langsung.
Nadhrah melipatkan tangannya ke dada. “Awak cakap yang saya ni tak layak jadi peguam bela kalau saya tak boleh nak percayakan klien saya. Take that back!” Dia mahu Raffi meminta maaf daripadanya. Sebagai seorang peguam yang lebih tua dan berpengalaman dalam bidang itu, Raffi juga harus belajar untuk menghormati dirinya.
“No.” Lelaki itu mengukir segaris senyuman dan menjawab dengan ringkas. Dia bergerak ke arah lokasi kejadian lalu meninggalkan Nadhrah di belakang yang masih lagi tidak mahu berputus-asa.
Nadhrah tidak puas hati dengan jawapan lelaki itu. What you just said? No?! Berani betul mamat sombong ni! Baru sahaja dia hendak mengangkat kakinya untuk beredar dari tempat itu, Nadhrah teringat akan kata-kata Aiman sebelum dia keluar dari pejabat.
Aiman menganggukkan kepalanya. “Iyelah! Baru kalah sikit dah nak mengalah? Kau tak macam tu lah Nad. You are a fighter! Tentang kes kau yang kena rampas dengan Raffi hari tu. Kau cakap dekat dia yang kau senior dekat pejabat ni kan? Buktikan dekat dia yang kau ni lebih handal daripada dia! Do your best to get that case back!” Dia cuba untuk memberi galakan kepada gadis yang dia sayangi itu.
Nadhrah berlari semula ke arah Raffi kemudian menarik lengan lelaki itu membuatkan langkah Raffi terhenti. Ini semua pasal kau lah, Man! Kalau tak..  Lelaki itu kaget melihat tindakan Nadhrah. “Saya akan buat yang terbaik untuk kes Naziera! Saya janji! Now, take back your words and say sorry to me!” Sudah tidak ada jalan lagi bagi Nadhrah untuk meminta lelaki itu supaya memohon maaf daripadanya. Bodohlah kau ni Nad!
Raffi tersenyum. So, this is how you play? Dia tergelak kecil kemudian memandang tangan kecil Nadhrah yang masih lagi memegang lengannya. “Saya minta maaf.” Dia memohon maaf daripada gadis itu dalam nada suara yang penuh lembut.
Nadhrah tercengang sewaktu mendengar kata-kata maaf daripada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Senangnya dia minta maaf dekat aku? “Wh.. what?” Dia masih lagi tidak percaya yang amat mudah sekali untuk dia menyuruh lelaki itu memohon maaf daripadanya.

Comments