Mahkamah Cinta 6


BAB 6
Nadhrah terjaga daripada lenanya saat terdengar bunyi jam loceng di telefon bimbitnya berdering kuat. Dengan malas, dia membuka matanya lalu mencari-cari telefon bimbit yang dia letakkan di sebelah bantal. Skrin telefon itu ditelitinya dengan mata yang masih lagi separuh tertutup. 
“Hmm.. Baru pukul tujuh..”
Dia menekan butang ‘off’ pada jam loceng itu dan deringan itu pun berhenti. Nadhrah masih lagi terasa mengantuk dan hanya berbaring sahaja di bawah selimut untuk beberapa minit lagi. Tiba-tiba, gadis itu membuka matanya semula kemudian terus melompat keluar dari katil. 
“Pukul tujuh?!”
Dia menarik tuala yang dia sangkut di belakang pintu lalu bergegas masuk ke dalam bilik mandi. Nadhrah tidak sangka yang dia akan terlajak tidur pada pagi itu. Selalunya, dia akan bangun pada jam enam pagi dan akan berada di stesen LRT Putra seawal jam tujuh. Perjalanannya ke Jalan Tun Razak sahaja sudah mengambil masa 45 minit. Nadhrah tidak mempunyai kereta sendiri untuk ke tempat kerja, oleh itu dia terpaksa menaiki LRT pergi dan balik dari pejabatnya. Itulah rutin harian Nadhrah.
Usai mandi dan solat, dia terus menarik beg kerja yang dia letakkan di atas kerusi dan melangkah keluar dari flatnya. Pintu rumahnya itu dikunci kemudian dengan pantas dia menuruni anak tangga dan belari ke arah stesen LRT Putra. Dia menyelongkar beg kerjanya dan mencari-cari beg duit berwarna merah miliknya.
“Nescafe panas satu. Dan roti coklat tu.” Nadhrah menundingkan jarinya ke arah roti coklat Gardenia yang terletak di dalam rak di belakang gadis yang menjaga gerai kecil itu. Dia menarik keluar sekeping not berjumlah RM5 kemudian dihulurkan kepada gadis itu. Nescafe panas yang sudah diletakkan di atas meja kaunter itu dicapainya.
“Nah, kak.” Dia memulangkan baki wang kepada Nadhrah.
Nadhrah hanya tersenyum lalu berjalan ke arah ruang masuk stesen LRT. Kad Touch ‘n’ Go ditariknya keluar dari dalam beg duit kemudian disentuhkan ke atas mesin yang menjaga laluan penumpang LRT itu. Melihat ramai orang sudah menggunakan tangga bergerak, Nadhrah memutuskan untuk menggunakan tangga biasa sahaja. Walaupun kakinya sakit apabila berlari menaiki tangga dengan kasut setinggi tiga inci, Nadhrah menggagahkan dirinya juga. Biar sakit kaki ni tapi jangan sampai lambat.
“Tunggu!” Dia separuh menjerit ke arah LRT sewaktu sampai di anak tangga yang terakhir. Dia belari masuk ke dalam ruang LRT itu betul-betul sebelum pintu LRT itu hendak tertutup. Gadis itu tercungap-cungap sambil mencari nafas.
Penumpang LRT sudah memandangnya dengan pandangan pelik. Iyelah, pagi-pagi lagi sudah menjerit di stesen LRT seperti orang gila. Nadhrah tidak menghiraukan orang di sekelilingnya lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Jam tangan yang dipakai di pergelangan dikerlingnya. Nadhrah tersenyum gembira kerana dia hanya lewat tiga puluh minit dari waktu asalnya. Jadi, aku akan sampai dekat Jalan Tun Razak dalam pukul lapan suku. Okeylah tu.
Baru sahaja dia hendak meneliti kes terbaru di dalam failnya, telefon bimbit Nadhrah berdering. Dia membuka beg kerjanya sambil mencari-cari kelibat telefon bimbit yang dia campakkan tadi sebelum keluar dari rumah. Ditekannya butang hijau pada skrin telefon itu.
“Hello, mak?” Dia menjawab panggilan itu dengan nada suara yang lembut. Fail di tangannya dibuka semula.
Puan Aisyah tersenyum di hujung talian sebelah sana. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi setelah pelanggan gerai nasi lemaknya berlalu pergi. Tangannya yang terkena calitan sambal nasi lemak dilap menggunakan tuala. 
“Mak ganggu Nad ke?”
Nadhrah menggelengkan kepalanya perlahan. Matanya masih lagi tertumpu ke atas kertas putih di dalam fail itu. “Tak adalah mak. Nad pun dalam perjalanan ke tempat kerja ni.” Dia menjawab dalam nada suara yang agak mendatar.
Puan Aisyah melihat jam di telefon bimbitnya. “Oh.. Tak adalah. Mak saja telefon nak tanya Nad jadi balik ke hujung minggu ni?” Dia menutup periuk sambal nasi lemaknya takut-takut nanti dihurung lalat pula.
Nadhrah sekadar mengangguk. “Hmm, jadi. Kenapa?”
Puan Aisyah tersenyum gembira. Dia teringat akan rombongan dari keluarga Encik Mat, penghulu kampungnya yang datang semalam. “Mak ada benda sikit nak bincangkan dengan Nad. Jangan lupa balik ye? Penting tau!” Dia memberitahu anak gadisnya itu dalam nada suara gembira.
Nadhrah jadi pelik. Hai, tiba-tiba je suara mak berubah seronok ni? “Apa yang penting sangat tu mak? Cakap je lah sekarang. Nad tak kisah.” Nadhrah tidak suka akan kejutan. Kalau boleh, dia mahu ibunya memberitahu perkara itu sekarang juga.
Puan Aisyah menggeleng laju. “Tak boleh. Mak nak Nad balik kampung minggu ni ye? Balik tau! Ni, ada orang datang nak beli nasi lemak ni. Lain kali mak telefon balik ye?” Kelihatan tiga orang pemuda kampung sedang menuju ke arahnya dengan menunggang motosikal. Dia memutuskan panggilan itu kemudian menyambung semula pekerjaannya.
Nadhrah memuncungkan bibirnya. “Hai.. mak.. mak..”
*******
Raffi berdiri di hadapan bangunan lima tingkat di hadapannya. Hatinya berdebar-debar namun dia gagahkan kakinya untuk melangkah masuk ke dalam ruang firma guaman itu. Ditekannya butang yang menunjukkan anak panah ke atas pada dinding di sebelah lif. Tidak lama kemudian, pintu lif itu terbuka. Dia melangkah masuk ke dalam ruang segi empat sama itu. Nombor tiga pada dinding lif itu ditekan kemudian pintu lif tertutup dan mula bergerak ke atas.
DING!
Raffi mengatur langkahnya dan berjalan keluar dari ruang lif sebaik sahaja pintu lif itu terbuka. Dia lihat semula pada kertas kuning yang sedang dia pegang. “Pejabat peguam bela..” Dia mengulangi perkataan itu beberapa kali sambil matanya melilau mencari kelibat pejabat itu.
“Encik cari pejabat peguam bela?”
Raffi menoleh ke belakang saat mendengar suara seorang gadis menegurnya. Lelaki itu mengukir senyuman kemudian menganggukkan kepalanya perlahan. 
“Ah, yes. Saya kena lapor diri untuk kerja hari ni.” Dia menunjukkan kertas kuning yang sedang dia pegang kepada gadis itu.
Gadis itu mengambil kertas yang dihulurkan oleh lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. “You must be Encik Ahmad Raffi! The one who just graduated his Masters from Australia. Right? Hi, my name is Valerie! Nice to meet you!” Gadis itu menundukkan kepalanya sambil tersenyum. Dia memperkenalkan dirinya dengan sopan. Wajah lelaki itu ditatapnya lama. What a good looking guy he is!
Raffi sekadar memandang dengan segaris senyuman pada bibirnya. “Err.. nice to meet you too.” Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan gadis itu kemudian menarik sikit tali beg kerjanya ke atas bahu.
Valerie menarik semula tangannya ke sisi kemudian mengangkat tangannya ke arah pejabat peguam bela awam. “Here, this way.” Valerie mula berjalan ke arah pejabat yang dicari oleh lelaki itu. Raffi hanya mengikut dari belakang.
Raffi melangkah masuk ke dalam ruang pejabat setelah gadis itu membukakan pintu itu untuknya. Dia meneliti segenap pelosok ruang pejabat itu kemudian berpaling ke arah Valerie semula. 
“So.. Which one is my work place?” Dia menanya sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali.
Valerie tersenyum sambil menundingkan jarinya ke arah meja di hadapannya. “Itu meja kerja awak. Oh, and let me introduce you to the rest of the team.” 
Dia bergerak ke arah Aiman yang sedang tersengguk-sengguk di meja kerjanya. Valerie menggelengkan kepalanya perlahan melihat lelaki itu yang sudah separuh tertidur.
Raffi tergelak kecil. “I rasa lebih baik kita jangan gerak dia.” Dia sudah bersedia untuk melangkah ke arah meja kerjanya namun terhenti saat terdengar bunyi Valerie mengetuk meja Aiman beberapa kali. Raffi menoleh semula ke belakang.
TOKKK! TOKKK!
Valerie mengetuk meja Aiman lebih kuat apabila melihat lelaki itu masih lagi tidak mahu bangun. “Encik Aiman, bangunlah! Tak malu ke peguam baru tengok you macam ni?” Dia menundingkan jarinya ke arah Raffi yang sedang menunggu di sebelah.
Aiman mengelap air liur basinya kemudian terpinga-pinga apabila melihat Raffi yang sudah berdiri di hadapan mejanya. Dengan pantas, dia mengelap tangannya pada seluar slack hitamnya sebelum dihulurkan kepada Raffi. 
“Ah.. Err, Aiman Suffi. Nice to meet you.”
Raffi sekadar tersenyum kemudian menyambut salam lelaki yang sedikit rendah daripadanya itu. Dia teliti wajah dan fizikal lelaki itu daripada hujung rambut sehinggalah ke hujung jari kakinya. Aiman memakai kemeja putih berlengan panjang. Rambutnya disisir tengah dan lelaki itu memakai kaca mata bulat ala 80-an. Raffi menduga usia lelaki itu pasti dalam lingkungan awal 30-an.
“Ahmad Raffi. Nice to meet you too.” Dia merenggangkan semula tangan itu lalu dilayangkan ke sisi. Dia menoleh ke arah Valerie yang masih lagi berdiri di sebelahnya. Dahi Raffi berkerut. “Tiga orang peguam untuk satu bilik?” Lelaki itu menanya.
Valerie menggelengkan kepalanya kemudian menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu menggunakan pen. “Eh, tak! Cik Nadhrah tak masuk lagi. Selalunya waktu-waktu macam ni dia dah lama sampai pejabat. Tapi, tak tahu kenapa hari ni dia lambat.” Valerie mengerling ke arah jam di dinding yang sudah hampir ke nombor sembilan. 
Raffi menghela nafasnya perlahan. “Oh. Jadi empat orang peguam dalam satu bilik?” Dia menanya lagi. 
Sewaktu melakukan praktikal selama tiga bulan di Australia dahulu, pejabatnya penuh dengan peguam. Sekurang-kurangnya sepuluh orang dalam satu seksyen. Tetapi, keadaannya lain pula di Malaysia. Raffi menduga.
Dia berjalan ke arah meja kerjanya sambil diekori oleh Valerie dari belakang. Gadis itu sedang memegang beberapa fail yang agak tebal dalam pelukannya. Raffi meletakkan beg kerjanya di atas kerusi kemudian menghenyakkan punggungnya di atas kerusi. Suasana pejabat itu amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan suasana tempat praktikalnya sewaktu di United Kingdom dahulu.
“Tak.. tak. Tiga orang peguam dalam satu bilik. You, Encik Aiman dengan Cik Nadhrah. I bukan peguam tapi kerani je.” Dia tersenyum kemudian meletakkan fail-fail yang dia pegang tadi ke atas meja Raffi.
“Kes saya?” Raffi menanya sambil menarik fail-fail itu ke arahnya.
Valerie menganggukkan kepalanya. “Yes. Kalau ada apa-apa yang Encik Raffi nak I bantu, Encik Raffi panggil saja. I will be there within a minute.” Dia menghadiahkan sebuah senyuman kepada lelaki itu sebelum melangkah semula ke arah mejanya.
Raffi meneliti fail yang baru sahaja dia buka. Tidak sampai seminit, kedengaran bunyi pintu pejabat itu dihempas kuat. Dia terkejut lantas mengalihkan pandangannya ke arah muka pintu. Kelihatan seorang gadis berambut panjang separas bahu sedang berdiri di situ bersama dengan kasut tingginya di tangan. Wajah itu ditatapnya lama. Macam kenal je dia ni..
“Ahhhhhh! Tak guna punya budak!” 
Dia mencampakkan kasut tumit tingginya ke atas lantai sambil berjalan terhinjut-hinjut ke arah meja kerjanya. Semua orang di dalam bilik itu sudah berdiri dan tercengang.
Yang paling terkejut sudah pastilah Aiman. Lelaki itu berlari ke arah Nadhrah. “Kenapa ni, Nad?” Dia cuba membantu Nadhrah sampai ke meja kerjanya tetapi gadis itu menepis tangan milik lelaki itu. Aiman membiarkannya sahaja.
Setelah sampai di meja kerja, Nadhrah menghenyakkan punggungnya di atas kerusi. Hatinya terasa panas benar. Kalau boleh disaman budak sekolah yang melanggarnya tadi sewaktu dia turun di stesyen LRT, sudah pasti dia saman! 
“Ada budak langgar aku masa aku tengah turun tangga dekat stesyen LRT tadi. Minta maaf pun tidak!” Dia menyumpah seranah dua orang budak lelaki itu di dalam hati.
Aiman menggelengkan kepalanya kemudian membelek-belek kaki Nadhrah yang kelihatan bengkak. Dia melutut di hadapan gadis itu lalu mengangkat kaki yang halus itu perlahan-lahan.
Kaki Nadhrah terasa lenguh dan pedih apabila terasa kakinya diangkat oleh Aiman. “Ahhh... ahhh.. Sakitlah, Man!” Nadhrah memukul bahu lelaki itu beberapa kali. Dia mengetap bibirnya sambil menahan sakit.
“Sabarlah sikit!” Aiman tidak tahu hendak berbuat apa. Dia menyuruh Valerie ambil kotak kecemasan yang telah disediakan oleh pihak pejabat di dalam bilik rawatan. Valerie hanya menurut perintah dan berlari keluar ke arah bilik rawatan.
Aiman terasa bahunya ditepuk perlahan oleh seseorang dari belakang. Dia menoleh ke arah Raffi yang sudah melutut di sebelahnya. “Here, let me take a look.” Raffi mengambil kaki Nadhrah lalu kaki itu diletakkan ke atas lututnya. Dia mengurut kaki itu dengan lembut.
Nadhrah terkejut. Hilang rasa sakitnya apabila melihat lelaki itu sedang mengurut pergelangan kakinya. Dahi Nadhrah berkerut. Dia menoleh ke arah Aiman dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak kemudian berpaling semula ke arah lelaki yang tidak dia kenali itu. 
“Aw.. awak ni siapa?” Akhirnya, dia menanya.
Raffi mengangkat wajahnya lalu mengukir senyuman ke arah gadis yang sedang duduk di atas kerusi di hadapannya itu. Sekarang aku ingat dia siapa. Dia peguam dekat kafe semalam. 
“Saya Raffi. Peguam baru dekat sini.”
“Oh.” 
Nadhrah cuba menarik semula kakinya daripada disentuh oleh lelaki itu lagi. Malu pula dia apabila membenarkan lelaki yang tidak dia kenali mengurut kakinya. Walaupun rasa sakit masih lagi berbaki, Nadhrah menahannya sedaya mungkin. 
“Tak apa. Saya boleh buat sendiri.” Gadis itu menyambung lagi.

Comments

Stupendulous said…
Makin best! Can't wait for the next n3 :)
The Khayalan said…
Sis Shazee, bila nak up new n3? T.T
The Khayalan said…
Sis Shazee, bila nak up new n3? T.T