Mahkamah Cinta 5




BAB 5
“Raffi!”
Lelaki itu menoleh ke belakang saat mendengar namanya dipanggil. Matanya tertumpu ke arah pintu masuk kafe itu sambil melihat Ain yang sedang berlari-lari anak ke arahnya. Raffi melihat lelaki yang sedang mengikuti langkah gadis itu di belakang. Naufal. Dia tersenyum lalu bangun daripada duduknya dan berdiri di sebelah meja.
“Oh my god! Aku rindu sangat dekat kau tau tak!”
Raffi terkejut saat pinggangnya dirangkul kemas oleh gadis itu. Keadaaan itu terasa amat janggal baginya jadi dia mengambil keputusan untuk tidak menolak mahupun membalas pelukan itu. Dibiarkan sahaja Ain begitu untuk seketika.
“Eei, budak ni. Tak malu ke orang tengok?” Naufal menarik baju Ain sehinggakan gadis itu bergerak sedikit ke belakang dan terpaksa melepaskan pelukannya di pinggang Raffi untuk mengelakkan dirinya daripada terjatuh.
Ain bengang. Dahinya sudah berkerut seribu. Mamat ni kan ada je benda yang dia nak buat untuk sakitkan hati aku. Lengan Naufal dipukulnya kuat. 
“Kau ni dah kenapa nak tarik-tarik baju aku? Ni baju baru tau tak!” Dia membetulkan semula lengan bajunya agar kelihatan kemas di mata Raffi.
Raffi sekadar mengukir segaris senyuman melihat telatah kedua-dua orang kawan baiknya itu. Dia mengerling ke arah Naufal yang sudah jelas terpancar pada wajahnya riak cemburu. Raffi menggelengkan kepalanya perlahan lalu melabuhkan punggungnya semula ke atas kerusi.
“Kau orang dua nak gaduh.. silakan. Aku nak makan.” Dia mula mengangkat tangannya untuk memanggil pelayan kafe itu. Ditelitinya buku menu yang diberikan oleh pelayan itu sebelum membuat pesanan.
Melihat Raffi yang sudah duduk di atas kerusi, Ain bergegas ke kerusi hadapannya lalu menghenyakkan punggungnya di situ. Wajah Raffi ditatapnya dengan khusyuk dengan senyuman yang masih lagi tidak lekang daripada bibir. Ain gembira melihat lelaki yang sedang duduk di hadapannya itu. Mana taknya? Sudah hampir dua tahun dia tidak bersua muka dengan Raffi.
Awal-awal dahulu sewaktu Raffi melanjutkan pelajarannya ke Australia, adalah sekali dua dia ber’skype’ dengan lelaki itu. Namun, Ain tetap menunggu. Dia sudah lama menaruh perasaan pada lelaki itu. Sejak zaman sekolah menengah lagi secara tepatnya.
“Sorrylah bro. Aku lambat sikit. Lepas habis kelas petang tadi, aku tertidur.” Naufal memberitahu sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Ain. Dia buat muka tidak bersalah sambil mengukir senyuman.
Raffi langsung tidak ambil hati. 
“Tak ada hal. Eh, orderlah. Malam ni aku belanja.” Dia menolak buku menu yang diletakkan oleh pelayan kafe tadi ke arah Naufal dan Ain sambil matanya juga sibuk meneliti menu yang terkandung di dalam buku itu.
Kedua-duanya sudah tersenyum gembira apabila mendengar yang Raffi hendak membayar untuk makan malam mereka hari itu. Setelah membuat pesanan, pelayan kafe itu kembali ke dapur lalu meninggalkan mereka bertiga.
“Wah, Raffi. Sejak tinggal dekat Australia tu, makin handsome ye kau ni? Dah ada girlfriend belum?” Ain menanya sambil cuba meraih tangan lelaki yang sedang duduk di hadapannya itu.
Naufal pantas memukul tangan gadis itu yang sudah liar mencari tangan milik Raffi membuatkan Raffi tergelak kecil. Dia simpan tangannya ke bawah meja. Raffi tahu yang Naufal suka pada Ain sejak mereka di sekolah menengah lagi. Tetapi, Ain tidak pernah menyedarinya. Hati Ain hanya pada Raffi.
Raffi pula hanya menganggap gadis itu seperti kawannya sahaja. Dia tidak pernah ada perasaan pada Ain. Mereka kenal sejak di bangku sekolah lagi jadi amat mustahil baginya untuk menyayangi gadis itu lebih daripada seorang kawan. Naufal pula tidak pernah ambil hati terhadap Raffi walaupun Ain sering melekat padanya.
Naufal tahu yang kawannya itu tidak pernah ada hati dengan gadis itu dan sudah berkali-kali juga Raffi menerangkan perkara yang sebenar kepadanya untuk mengelakkan salah faham daripada berlaku. Oleh sebab itu, Naufal tidak pernah menyalahkan Raffi sebaliknya sering menegur Ain yang selalunya berani untuk memulakan langkah awal apabila berada dekat dengan Raffi.
Naufal tarik gelas jus epal yang baru sahaja diletakkan oleh pelayan kafe itu. “Kau kerja dekat mana, Fi? Ye lah kau kan dah habis belajar. Aku dengan Ain ni tinggal lagi setahun dekat universiti tu.” Sengaja Naufal mengusik. Pinggan lasagna yang masih panas itu ditariknya perlahan.
Raffi menyedut sedikit ais lattenya. “Aku dah dapat kerja dekat Jalan Tun Razak. Esok kena lapor diri untuk masuk kerja dah. Eh, kau dengan Ain belajar dekat U yang sama ke?” Pelik juga dia melihat yang Naufal masih lagi tidak berputus-asa terhadap gadis itu.
Ain mengangguk laju kemudian membuat muka meluat ke arah Naufal. “Iyelah! Mamat ni asyik mengikut je ke mana aku pergi tau! Tau tak aku rimas?” Dia mengangkat tangannya ke udara seolah-olah hendak memukul lelaki itu sekali lagi.
Naufal turut mengusiknya. Dia mengikut semula apa yang Ain lakukan sehingga membuatkan darah gadis itu meluap-luap. Ain menjelirkan lidahnya kepada Naufal membuatkan lelaki itu tertawa kecil. Raffi menggelengkan kepalanya perlahan sambil tersenyum. Dia seronok melihat telatah dua orang kawan baiknya itu.
*******
Nadhrah melayangkan tubuhnya ke atas katil usai menunaikan solat Isyaknya tadi. Rambutnya yang masih basah dibiarkan sahaja tidak dilap. Matanya perlahan-lahan tertutup. Nadhrah terasa seluruh badannya sengal-sengal. Mana taknya? Setiap hari dia akan naik dan turun tangga ke stesen LRT. Kemudian, berjalan kaki ke flatnya. Nasib baik di pejabatnya ada lif. Kalau tidak..
Nadhrah mengeluh perlahan. “Sampai bila kau nak hidup macam ni Nad..” 
Dia menarik bantal peluknya kemudian dipeluknya bantal itu seerat mungkin. Fikirannya sudah jauh melayang memikirkan kes-kes yang sedang bertimbun di atas meja pejabatnya.
BRRR! BRRR!
Kedengaran bunyi telefon bimbit Lenovo yang dia letakkan di atas meja tepi bergetar. Nadhrah memalingkan kepalanya ke arah telefon bimbit itu lalu berguling sedikit ke kiri. Telefon bimbit itu diraihnya.
Dah sampai rumah?
Satu khidmat pesanan ringkas daripada Aiman baru sahaja masuk. Nadhrah memuncungkan bibirnya sebelum membalas mesej itu semula.
Pergi tidurlah kau. Goodnight.
Telefon bimbit itu dicampaknya semula ke atas katil. Nadhrah kembali meletakkan kepalanya ke atas bantal dan bersiap-sedia untuk tidur. Selimutnya ditarik supaya menutupi tubuhnya yang kecil itu. Nadhrah berasa selesa begitu. Baru sahaja dia hendak terlena, gadis itu terfikir akan Aiman.
Kenapa dia baik sangat dengan aku hari ni? Nadhrah menanya dirinya sendiri. Dia baru perasan yang sejak akhir-akhir ini, Aiman melayannya dengan baik sekali. Lelaki itu sudah tidak seperti dahulu, suka menengking dan memarahinya. Kini, Aiman lebih banyak beralah dan memberi peluang kepadanya untuk melakukan sesuatu yang dia sukai.
Nadhrah melipatkan kedua-dua tangannya ke dada. “Man.. Kau je lah kahwin dengan aku. Senang kerja aku sikit.” Dia mengusik lelaki itu sambil tersengih persis anak kecil yang nakal.
Menyangka yang Nadhrah serius, Aiman menoleh ke sebelah lalu menatap wajah gadis itu dengan senyuman lebar terukir di bibir. “Kau biar betul, Nad? Boleh! Esok juga aku hantar wakil keluarga aku suruh pergi merisik kau!” Dia memberi cadangan kemudian melayangkan tangannya ke udara. Gembira benar lelaki itu apabila mendengar Nadhrah ingin berkahwin dengannya.
Nadhrah tarik semula telefon bimbit yang dia campak tadi. Dengan pantas, dia mendail nombor Aiman. Dia inginkan kepastian tetapi dia takut yang jawapan kepada soalannya nanti adalah ‘ya’. Namun, dia gagahkan dirinya untuk mendail nombor telefon bimbit lelaki itu.
“Hello?”
Nadhrah menelan liurnya saat mendengar suara Aiman di hujung talian sebelah sana. “Ka.. kau dah tidur Man?” Dia menanya lelaki itu sambil bermain-main dengan hujung bucu bajunya. Nadhrah jadi cemas.
Aiman menggelengkan kepalanya lalu meletakkan kepalanya semula ke atas bantal. “Belum. Tadi tengah belek-belek kes baru aku.” Fail yang dia pegang tadi ditolakkan ke tepi. Nadhrah lagi penting. Lelaki itu bermonolog sendirian di dalam hatinya.
“Oh..”
Nadhrah tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara. Tiba-tiba sahaja dia tidak pandai dalam berkata-kata. Selalunya, gadis itulah yang paling banyak bercakap. Habis semua benda diberitahunya kepada Aiman. Tetapi, malam itu tidak.
“Kau okey tak ni, Nad? Kenapa telefon aku? Bukan tadi kau nak tidur dah ke?” Aiman menanya setelah lama gadis itu mendiamkan diri. Pelik juga apabila Nadhrah menelefonnya malam-malam begini. Selalunya Nadhrah akan sibuk meneliti fail-fail kliennya. Kalau tidak pun, dia akan menonton televisyen.
Nadhrah menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. “Err.. Macam mana aku nak cakap ye?” Makin laju kepalanya digaru. Dia tidak mahu nanti dirinya dipermainkan oleh Aiman apabila dia menanya soalan itu.
“Cakap je lah! Nak takut apanya?” Aiman sudah tidak sabar.
“Man, kau suka dekat aku ke?” Laju sahaja kata-kata itu keluar daripada bibir Nadhrah. Dia juga sudah tidak boleh menahan dirinya lagi. Dengan pantas, dia menanyakan soalan itu kepada Aiman.
Lelaki yang sedang menunggu di hujung talian sebelah sana itu sudah termangu. Dia tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar. Nad tanya aku suka dia ke tak? Biar betul ni? Aiman masih lagi terkejut. “Ka.. kau cakap apa?”
Nadhrah malu. “Iyelah! Dah tu kenapa kau baik sangat dengan aku? Dulu kau tak macam ni. Kau suka tengking aku! Marah aku! Tapi sejak akhir-akhir ni, aku nampak kau macam suka beralah je dengan aku? Man, kau jangan.. Kau tahu kan aku..”
Aiman memotong kata-kata Nadhrah sebelum sempat dia meneruskan bicaranya. “Oh, kalau aku buat baik maknanya aku suka dekat kau lah? Apa kau ni, Nad?” Terus dia memutuskan panggilan itu. Dia belum bersedia untuk meluahkan perasaannya terhadap gadis itu lagi.
Nadhrah pelik mendengar suara di talian sebelah sana sudah tidak kedengaran. “Hello? Man?” Dia melihat ke arah skrin telefon bimbitnya yang sudah kosong. Eei, suka hati dia je nak hang up!
*******
Raffi tersenyum seorang diri di dalam biliknya. Sejak sampai di rumah tadi, dia hanya memikirkan tentang peguam wanita yang dia jumpa secara tidak sengaja di kafe tadi. Wajah gadis itu sering bermain-main di mindanya. Dia kagum dengan sikap gadis itu. Walaupun tidak mengenali gadis itu, Raffi dapat membuat kesimpulan yang gadis itu pastinya orang yang baik hati.
“Saya akan dakwa cik di mahkamah kalau cik pukul dia lagi.”
Langkah Raffi terhenti saat melihat seorang wanita yang tidak diketahui umurnya sedang memegang tangan wanita yang angkuh tadi. Wanita itu cuba menghalang pelayan kafe tadi daripada ditampar sekali lagi.
“You jangan masuk campur! You ni siapa?!” Wanita angkuh tadi sudah bengang. Dia menolak tangan wanita yang sedang berdiri di antara dia dan pelayan kafe tadi. Wanita angkuh itu melipatkan tangannya ke dada.
Wanita yang berdiri di hadapan pelayan kafe itu tersenyum sinis. Dia melipatkan tangannya ke dada dengan muka selamba.  “I am a lawyer and tell you what.. I can put you in jail for two months after all that you have done to her despite whatever she has done to you. And to make sure I can do that, all proves are in here.” Wanita itu mengangkatkan telefon bimbitnya ke udara. Dia memainkan video yang menunjukkan tindakan wanita itu bertindak menampar pelayan kafe itu tadi.
Serta-merta dia terfikir akan kejadian yang menimpanya 12 tahun lalu. Masih segar di ingatan lelaki itu akan kejadian di mana dia dipukul oleh sekumpulan kaki samseng yang marahkan dirinya kerana melaporkan kecurian kepada pihak sekolah sehingga mengakibatkan adik kepada salah seorang kaki samseng itu digantung sekolah. Walaupun dia sudah tidak ingat akan wajah pelajar perempuan yang menolongnya waktu itu, dia sentiasa berterima kasih kepada pelajar itu kerana sudi menolongnya.
“Berhenti!” Nadhrah menjerit dari jauh dengan telefon bimbitnya di dalam tangan. Dia berlari-lari anak ke arah budak lelaki itu dengan perasaan berdebar. Kalau aku kena pukul nanti macam mana? Mati aku!
Namun, dia tidak menghiraukan semua andaian itu dan menggagahkan kakinya dan berhadapan dengan semua budak lelaki itu. Dia mengangkat telefon bimbitnya ke udara dengan tangan terketar-ketar. “Kalau ka.. kau pukul budak tu, aku ha.. hantar gambar ni dekat ba.. lai polis!” Gadis itu menambah dengan berani.
Lima orang budak lelaki tadi mulai cuak dan membuat keputusan untuk mengangkat kaki mereka dan beredar dari situ meninggalkan Nadhrah bersama dengan budak lelaki yang dibuli tadi.
“Adik okey? Kenapa tak lawan balik bila dia orang buat adik macam tu?” Nadhrah khuatir melihat keadaan budak lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Baju dan seluar budak lelaki itu kelihatan kotor sekali akibat ditolak ke atas padang oleh kaki samseng tadi.
Raffi melangkah ke alam lena dengan membawa wajah peguam wanita serta pelajar perempuan itu bersama ke dalam mimpinya.

Comments