Mahkamah Cinta 4




BAB 4
Nadhrah kerling jam yang dipakai di tangan yang sudah menginjak ke nombor sembilan. Sudah empat jam berlalu sejak tamat waktu bekerja. Nadhrah memang begitu. Dia suka menghabiskan masanya di pejabat. Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini banyak kes yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
“Tu lah, Nad. Siapa suruh belagak sangat dalam court..” Dia mengetuk kepalanya menggunakan pen hitam yang sedang dia pegang. Dia mengeluh berat kemudian ditelitinya fail-fail yang sudah tersusun di atas mejanya.
Dia menarik satu fail kemudian diletakkan di hadapannya. Nadhrah buka fail itu dengan pantas. Muka surat hadapan fail itu mengandungi maklumat lengkap tentang defendan yang harus dia bela. Ditelitinya dakwaan yang dikenakan ke atas defendan tersebut.
“Ahhhh!”
Aiman yang baru melangkah masuk ke dalam ruang pejabat terkejut. Dia menoleh ke arah Nadhrah dengan mata yang sedikit terbeliak. Gadis itu sedang menarik rambutnya beberapa kali. Ada ketika, Nadhrah menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
“Kau ni, Nad! Buat terkejut aku je!” Aiman memarahi Nadhrah yang sudah separuh gila kemudian berjalan ke arah meja gadis itu. Tangannya kejap memegang secawan kecil kapucino ais yang dia beli daripada mesin vender di luar pejabat tadi.
“Oh? Aku ingat kau dah balik.” Dia mengangkat wajahnya ke atas untuk melihat Aiman yang sudah berdiri di hadapan meja kerjanya. Nadhrah buat muka tidak bersalah. Matanya laju sahaja memandang cawan kertas yang dipegang lelaki itu. Untuk aku?
Aiman teliti pandangan gadis itu. Seolah-olah faham akan apa yang sedang Nadhrah fikirkan, dia meletakkan kapucino ais yang dia beli tadi ke atas meja gadis itu. 
“Iye, untuk kau.”
Nadhrah tersengih manja. Dia menjelirkan lidahnya sedikitnya kemudian dengan pantas menyambar cawan kertas itu. Dengan sekali teguk, cawan kertas berisi air kapucino ais tadi habis sekelip mata. 
"Thank you, Man. I really need that.”
Aiman berjalan balik semula ke ruangan kerjanya dengan senyuman di bibir. You’re welcome. 
“Aku dengar kau menang lagi kes hari ni? Siap dapat ‘saguhati’ dalam court?” Lelaki itu sudah tertawa. Dia ada terdengar yang Nadhrah dicekik oleh saksi di dalam mahkamah sewaktu perbicaraan.
Nadhrah mencebik. Tak guna. Dia nak perli aku lah tu. Nadhrah melibaskan rambutnya ke belakang dengan penuh lagak. 
“Yang penting aku menang.” Nadhrah mengaku yang ada sesetengah pihak tidak senang dengan cara dia mengendalikan kesnya. Tetapi, itulah cara Nadhrah. Dia lebih suka bekerja sendiri. Dia lebih suka turun ke tapak siasatan sendirian walaupun hari sudah lewat malam.
“Padan muka kau. Sekali dapat banyak kes macam tu.” Aiman menundingkan jarinya ke arah fail-fail yang sudah bertimbun di atas meja Nadhrah. Baru petang tadi Valerie meletakkannya di situ dan Aiman sendiri yang mempelawa dirinya untuk mengemaskan semua fail-fail itu buat Nadhrah.
Nadhrah mengeluh perlahan kemudian meletakkan kepalanya ke atas meja. Dia malas hendak melayan kerenah Aiman yang suka sangat menyakat dirinya. Nad penat sangat ni mak. Bestnya kalau mak urut bahu Nad. Gadis itu teringat akan ibunya di kampung.
Aiman kasihan melihat Nadhrah yang sudah keletihan. Dia tahu yang Nadhrah seorang yang kuat bekerja tetapi ada kalanya lelaki itu fikir lebih baik kalau Nadhrah diberikan masa untuk rehat dan pergi bercuti. 
“You seriously need a break.” Lelaki itu menambah setelah keadaan mulai kedengaran sunyi.
“I know..” Nadhrah menjawab dalam nada malas. 
Kepalanya masih lagi melekat di atas meja. Matanya sudah terpejam rapat. Dulu sewaktu awal-awal dia bekerja sebagai peguam bela awam di pejabat itu, Nadhrah pernah sampai tertidur di meja kerjanya sehinggalah dia bangun pada keesokan paginya.
Dengan pantas, Aiman mengemaskan mejanya lalu bergerak ke arah Nadhrah yang hampir tertidur. Dia memanggil nama gadis itu beberapa kali tetapi panggilannya tidak dipedulikan. 
“Earth to Nad. Earth to Nad, roger.” Dia mengetuk meja gadis itu beberapa kali.
Nadhrah memandang lelaki yang sedang berdiri di hadapan mejanya dengan mata yang sedikit merah. Rambut hadapannya sudah menutup mata sebelah kanannya. 
“Kau nak apa lagi ni, Man? Jangan kacau aku. I’m tired.” Baru sahaja dia hendak meletakkan kepalanya ke atas meja semula, Aiman menghalang dengan pantas.
Kepala Nadhrah dipegangnya perlahan. “Jomlah. Aku belanja kau pergi makan.”
Belanja? Wajah Nadhrah kembali cergas. Dia bingkas bangun daripada duduknya tanpa menghiraukan meja kerjanya yang agak bersepah itu. 
“Kita nak makan dekat mana?” Dia menarik sedikit skirt panjang yang dipakainya ke bawah supaya kelihatan lebih kemas.
Aiman tergelak kecil. “Kafe biasa kita selalu pergi?” 
Aiman tahu yang kafe itu merupakan tempat kegemaran Nadhrah. Gadis itu amat gemar meminum kopi. Mungkin kerana sudah terbiasa bekerja sehingga lewat malam. Jadi, kopi merupakan salah satu cara untuk mengekalkan kecergasan dalam tubuh gadis yang kecil itu.
Nadhrah mengangguk laju. “Okey, jom!”
*******
Raffi sudah pun berada di dalam ruang kafe itu saat jarum jam sudah pun menginjak ke nombor sembilan. Kepalanya ditolehkan ke kiri dan ke kanan untuk mencari kelibat Ain yang masih lagi belum tiba. Baru sebentar tadi, dia menerima khidmat pesanan ringkas dari Ain mengatakan yang dia akan sampai dalam masa sepuluh minit lagi. Naufal pula sedang memarkirkan keretanya di tempat letak kereta. Oleh itu, Raffi hanya menunggu.
PIANNGGG!
Kedengaran bunyi pinggan pecah tiga meja di belakangnya. Dengan pantas, Raffi terus menoleh ke arah pelayan wanita yang sudah terduduk di atas lantai sambil mengutip serpihan pinggan yang pecah. Serpihan itu diletakkan ke dalam dulang semula. Pelayan wanita itu bingkas bangun daripada duduknya lalu berdiri di sebelah pelanggan di meja itu.
“Saya minta maaf cik! Saya minta maaf!” Dia menundukkan kepalanya beberapa kali sambil bibirnya tidak berhenti menuturkan kata-kata maaf. Dia tidak berani bertentang mata dengan pelanggannya yang sedang menjelingnya dengan mata berapi.
“You tengok ni! Sebab sikap cuai you, habis dres yang baru I beli ni tau!” Wanita itu bingkas bangun daripada duduknya lalu menunjukkan dres mahalnya yang sudah dicemari dengan sos spaghetti. Dia bengang.
“Sekali lagi saya minta maaf cik!” Pelayan wanita itu memohon maaf sekali lagi.
Raffi kasihan melihat pelayan muda itu yang tidak habis-habis ditengking oleh wanita tadi. Gadis itu sudah menangis teresak-esak kerana menahan malu.
PANG!
Satu tamparan kuat hinggap di pipi gadis itu. Mata Raffi terbeliak saat melihat pipi gadis itu yang sudah merah menyala. Dia bingkas bangun daripada duduknya lalu berjalan ke arah gadis yang sedang memegang pipinya itu. Raffi melihat wanita itu sekali lagi mengangkat tangannya untuk menampar pelayan kafe itu. Langkah Raffi semakin laju. Dia tidak mahu gadis itu dipukul lagi tanpa sebab. Dia tahu yang gadis itu tidak sengaja terjatuhkan pinggan berisi spaghetti itu tadi. Pelayan itu tidak layak diperlakukan sebegitu sekali walaupun dia bersalah.
“Saya akan dakwa cik di mahkamah kalau cik pukul dia lagi.”
Langkah Raffi terhenti saat melihat seorang wanita yang tidak diketahui umurnya sedang memegang tangan wanita yang angkuh tadi. Wanita itu cuba menghalang pelayan kafe tadi daripada ditampar sekali lagi.
“You jangan masuk campur! You ni siapa?!” Wanita angkuh tadi sudah bengang. Dia menolak tangan wanita yang sedang berdiri di antara dia dan pelayan kafe tadi. Wanita itu melipatkan tangannya ke dada.
Wanita yang berdiri di hadapan pelayan kafe itu tersenyum sinis. Dia melipatkan tangannya ke dada dengan muka selamba.  “I am a lawyer and tell you what.. I can put you in jail for two months after all that you have done to her despite whatever she has done to you. And to make sure I can do that, all proves are in here.” Wanita itu mengangkatkan telefon bimbitnya ke udara. Dia memainkan video yang menunjukkan tindakan wanita itu bertindak menampar pelayan kafe itu tadi.
Raffi tersenyum. Smart enough.. Dia memuji wanita itu dari jauh. Lelaki itu masih lagi tidak berganjak dari tempatnya. Fokusnya masih lagi tertumpu ke arah wanita-wanita yang sedang berbicara tidak jauh di hadapannya. Keadaan kafe menjadi teramat senyap kerana semua pelanggan sedang sibuk melihat pergaduhan yang sedang berlangsung. Pengurus kafe itu berlari-lari anak ke ruang hadapan kafe itu dengan dua orang lagi pekerjanya.
Wanita angkuh tadi mendiamkan diri. Dengan pantas, dia menyambar tas tangannya yang dia letakkan di atas kerusi kemudian terus berlalu pergi tanpa menoleh lagi ke belakang. Pelayan wanita itu bangun daripada duduknya.
“Awak okey?” Peguam itu menanya sambil memeriksa keadaan gadis yang sedang berdiri di hadapannya. Dilihatnya pipi gadis itu yang sedikit merah.
Pelayan itu sekadar menganggukkan kepalanya. “Saya okey. Terima kasih, kak.” Dia mengangkat dulang yang berisi serpihan pinggan kaca yang pecah tadi. Baru sahaja dia ingin mengangkat kakinya, langkahnya terhenti. Dia menoleh ke sebelah sambil melihat lengannya yang sedang dipegang oleh peguam wanita itu.
Wanita itu mengukir satu senyuman manis. “Balik nanti pergi klinik.” Dalam diam, dia menghulurkan sekeping not berjumlah RM50 kepada gadis itu sebelum mengatur langkahnya keluar daripada kafe itu bersama seorang lelaki yang sedang menunggunya di pintu masuk.
Raffi tersenyum lebar. Aku ingat dah tak lagi orang macam dia ni.
*******
Nadhrah melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang disediakan di perhentian bas itu. Dia menoleh ke kiri dan kanan untuk melihat anak-anak muda yang sudah membanjiri setiap pelosok ibu kota. Nadhrah menghela nafasnya perlahan.
“Aku dah pelawa nak hantar kau balik kau yang tak nak. Jual mahal sangat.” Aiman turut duduk di sebelah Nadhrah sambil jam tangan yang dipakainya dikerling. Sudah hampir pukul sepuluh malam dan jalan raya juga masih lagi tidak putus-putus diisi dengan kenderaan.
Nadhrah mencebik. “Mak aku cakap jangan suka menyusahkan orang. Biar kita susah tapi bukan orang lain.” Dia mula membuka fail yang dipegang di tangan. Sampai mati pun aku rasa kes dekat atas meja tu takkan habis. Dia mengeluh perlahan kemudian mula meneliti maklumat kes itu.
“Kau tau tak bahaya naik bas malam-malam macam ni? Kau tu dah lima tahun jadi peguam, Nad. Apa salahnya kau beli kereta? Senang sikit nak ke tempat kerja.” Lelaki itu mula membebel.
Nadhrah menutup telinganya menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya. “Yang kau ni risaukan aku tak tentu pasal kenapa? Dah lima tahun aku naik bas. Aku tahulah jaga diri aku.” Dia memarahi lelaki itu.
Aiman garu kepalanya yang tidak gatal. “Ak.. aku cuma risaukan kau je.”
Nadhrah menggeleng perlahan. “Tak payah. Untuk pengetahuan kau juga, Encik Aiman, gaji jadi peguam bela ni sebenarnya bukannya banyak mana pun. Ada banyak lagi benda penting yang aku nak buat guna duit gaji aku ni.”
Aiman amati wajah gadis yang sedang duduk di sebelahnya itu. Kenapalah dia ni kerja keras sangat? Kahwin tak juga! Dia lihat Nadhrah yang sudah termenung sendirian. Perlahan-lahan, lelaki itu menutup fail yang dipegang oleh Nadhrah tadi.
Nadhrah terjaga daripada lamunan. Dia menoleh ke sebelah untuk melihat Aiman yang sudah mengecilkan matanya. 
“What?” Dia menanya lelaki yang sedang sibuk melihatnya itu. Nadhrah jadi tidak selesa. Dia paling tidak suka apabila seseorang itu memandangnya tanpa sebab.
“Kau okey ke, Nad? Akhir-akhir ni aku tengok kau macam ada masalah je?”
Aiman mengangkat keningnya beberapa kali. Dia bimbang dengan keadaan gadis itu. Semenjak dua menjak ini, memang amat ketara yang Nadhrah suka mengelamun apabila berada di pejabat. Nadhrah pula jenis yang tidak suka berkongsi masalah peribadinya dengan orang lain. Walaupun sudah lima tahun duduk di bawah satu pejabat yang sama, apa yang Aiman tahu tentang diri gadis itu hanyalah namanya. Tempat tinggal Nadhrah pun dia tidak tahu di mana.
Nadhrah meraup wajahnya. “Entahlah, Man. Aku tengah runsing ni.”
Aiman menarik fail yang dipegang oleh gadis itu ke pangkuannya. “Cerita dekat aku apa yang buat kau runsing aku sekarang ni.” Dia cuba mengorek rahsia. Bukan senang hendak melihat Nadhrah membuka mulut soal kehidupan peribadinya. Jadi, peluang keemasan ini harus dia manfaatkan sebaik mungkin.
Nadhrah tatap wajah lelaki yang sedang duduk di sebelahnya. Bas yang dia tunggu sejak tadi masih lagi belum datang. Dia tahu yang Aiman berniat baik. Lelaki itu hanya mahu membantu untuk meringankan bebannya. Mesti mamat ni gelakkan aku nanti. Nadhrah bermonolog dalaman sebelum membuka mulutnya. “Mak aku dekat kampung tu.. asyik tanya aku pasal kahwin.”
Aiman tersentak. Mulutnya sedikit terlopong. “Ka... kahwin?” Dia tidak sangka yang perkataan itu akan keluar daripada mulut Nadhrah. 
Iyelah, sejak dia mengenali gadis itu, tidak pernah sekali pun Nadhrah membuka tentang soal kahwin. Gadis itu terkenal benar dengan prinsip ‘no man, no cry’ nya.
Nadhrah mengangguk laju. “Hmm. Mak aku nak aku kahwin dalam masa terdekat ni. Masalahnya aku tak nak! Kau sendiri tahu kan, Man? Aku boyfriend pun tak ada!” Dia memberitahu lelaki itu sambil menumbuk-numbuk beg kerjanya.
Aiman termangu seketika. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Sesungguhnya, berita yang baru sahaja gadis itu khabarkan agak mengejutkan dirinya. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi apa. Nadhrah nak kahwin? Dengan siapa? 
“Da.. dah tu kau nak bu.. buat apa?” Dia menyoal gadis itu tetapi tidak berani untuk bertentang mata dengannya.
Nadhrah melipatkan kedua-dua tangannya ke dada. “Man.. Kau je lah kahwin dengan aku. Senang kerja aku sikit.” Dia mengusik lelaki itu sambil tersengih persis anak kecil yang nakal.
Menyangka yang Nadhrah serius, Aiman menoleh ke sebelah lalu menatap wajah gadis itu dengan senyuman lebar terukir di bibir. 
“Kau biar betul, Nad? Boleh! Esok juga aku hantar wakil keluarga aku suruh pergi merisik kau!” Dia memberi cadangan kemudian melayangkan tangannya ke udara. Gembira benar lelaki itu apabila mendengar Nadhrah ingin berkahwin dengannya.
Nadhrah tergelak besar. Dia menutup mulutnya dengan tapak tangan sambil cuba menahan tawanya. “Man, apa hal kau ni? Aku main-main je lah!”
Kata-kata Nadhrah sebentar tadi menghancurkan harapannya dengan serta-merta. Aiman bingkas bangun daripada duduknya. Fail-fail Nadhrah yang dia pegang tadi dihulurkan kepada gadis itu semula. “
Ka.. kau ingat aku se.. serius ke? Aku pun main-mainlah! Dah lah, aku nak balik!” Tanpa melengahkan masa, dia terus mengangkat kakinya lalu beredar dari situ.
Nadhrah bingung dengan apa yang baru sahaja terjadi. Dia melihat langkah Aiman yang sudah mulai pantas. 
“Man? Man! Aku main-main je lah tadi!” Nadhrah sekadar melihat sahaja susuk tubuh lelaki itu yang sudah hilang dari pandangannya.

Comments