Mahkamah Cinta 1

BAB 1
Nadhrah berjalan ke arah kawan-kawannya yang sedang menanti di salah sebuah meja milik kedai kopi Starbucks itu. Dia tersenyum gembira. Hari ini merupakan hari terakhir bagi dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan selepas ini dia akan bebas daripada buku-buku sekolah. Dia tidak sabar untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti nanti. Nadhrah bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.
Setelah sampai di meja, Nadhrah meletakkan dulang plastik berwarna coklat yang berisi dua kapucino ais dan satu vanilla latte ke atas meja. Dia mengangkat sedikit baju kurungnya ke atas sebelum melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
“Nah, ni untuk kau orang semua. Hari ni aku belanja!” Dia menghulurkan air yang dibelinya tadi sambil menyilangkan kakinya di bawah meja.
“Thank you, Nad! You’re the best!” Dengan pantas, Laila meraih cawan plastik berisi vanilla latte ke arahnya. Dia menyuakan penyedut minuman itu ke bibirnya lalu air itu disedut perlahan.
“So, apa rancangan kau cuti ni? Kau nak kerja ke?” Mira menanya sambil bermain dengan penyedut minumannya. Matanya meliar ke arah pelayan lelaki yang baru sahaja melintasinya sebentar tadi.
Nadhrah mengangkat bahunya. “Entah. Aku ingat nak mula ulangkaji untuk ujian kelayakan A-Level nanti.” Telefon bimbit yang tersimpan di dalam beg sandang dibawanya keluar. Dia menghantar satu khidmat pesanan ringkas kepada ibunya mengatakan yang dia sedang berada di luar bersama-sama kawannya.
Hampir tersedak Laila apabila mendengar yang kawannya itu hendak mula mengulangkaji semula. Matanya membulat lalu dia mencekak pinggangnya dan pasang muka bengang. “Kau ni biar betul, Nad? Kita baru habis SPM ni tau! Lagi pun, kau tu tak payah belajar pun dah boleh luluslah ujian tu. Kau kan pandai.”
Mira mengangguk laju. “Iyelah, Nad. Setahun ni kau dah korbankan diri kau untuk buku-buku tu. Aku rasa lebih baik kau rehat.” Dia memberi cadangan. Dia tidak pernah risau dengan Nadhrah. Gadis itu sudah sering berada antara yang terbaik di dalam kelas dan dia pasti yang Nadhrah akan berjaya suatu hari nanti.
Nadhrah sekadar mengukir senyuman. “Eh, jomlah balik! Nak dekat pukul lima dah ni. Nanti mak aku risau pula.” Dia bingkas bangun daripada duduknya lalu menarik beg sandang yang dia sangkut di tepi kerusi.
Laila dan Mira juga menuruti langkahnya. Mereka bertiga berjalan keluar dari kedai kopi Starbucks sambil mulut masih lagi ligat berbicara. Nadhrah melontarkan pandangannya ke atas jalan raya. Dia terfikir akan masa depannya. Mampu ke aku jadi yang terbaik untuk mak? Untuk jadi anak mak yang pertama yang jejak kaki dekat universiti?
Tiba-tiba langkah Nadhrah terhenti. Matanya tajam melihat kelibat seorang budak lelaki yang berumur lingkungan 12 tahun yang berdiri tidak jauh darinya. Budak lelaki itu sudah terduduk di atas padang bola yang kosong itu. Nadhrah terasa ada yang tidak kena dengan budak itu.
“Lai, Mira. Kau cuba tengok tu.” Dia menundingkan jarinya ke arah budak lelaki yang sedang dikelilingi oleh lima orang budak lelaki lain yang berumur lingkungan 14 tahun. Ada di antara mereka yang memegang kayu besbol.
“Ada apa?” Mira mula menoleh ke arah tempat yang dimaksudkan oleh Nadhrah. Matanya mencari-cari apa yang dilihat oleh kawannya itu sebentar tadi. Mira jadi bingung apabila tidak melihat apa-apa.
Nadhrah mulai cuak. “Kita kena tolong budak tu!” Dia mula mengangkat kakinya dan berjalan ke arah budak lelaki itu tetapi dihalang oleh Laila dan Mira. Dia menoleh semula ke belakang.
“Nad, janganlah! Bahaya tau tak? Budak-budak tu kaki buli agaknya! Ada yang pegang kayu besbol lagi! Tak payahlah!” Laila menarik pergelangan tangan Nadhrah dengan pantas. Dia tidak mahu Nadhrah terlibat dengan masalah dan yang pasti dia tidak mahu terlibat dengan masalah juga.
Nadhrah mengangkat keningnya sebelah. “Dah tu kau nak aku tengok je budak tu mati kena belasah?” Dia meleraikan pegangan Laila tadi dengan lembut lalu berlari-lari anak ke arah budak lelaki yang masih lagi mendiamkan diri di situ.
*******
“Kau ingat kau anak orang kaya aku takutlah?” Seorang budak lelaki itu menolak bahu budak lelaki yang sudah terduduk di atas padang itu. Dia tersenyum sinis.
“Kenapa kau laporkan dekat cikgu yang adik aku mencuri dekat sekolah?” Budak lelaki yang memegang kayu besbol tadi sudah mengangkat kayu itu lalu diletakkan ke atas bahu kanannya. Dia sudah bersedia untuk memukul budak berumur 12 tahun yang masih lagi mendiamkan diri.
Budak lelaki yang terduduk di atas padang tadi mengangkat wajahnya ke atas lalu tersenyum sinis. “Memang betul pun dia mencuri.” Selamba dia berkata begitu lalu bangkit semula daripada duduknya. Dia mengibas-ngibas belakang seluarnya yang sudah dikotori dengan pasir. Habis seluar yang aku beli mahal-mahal.
Budak lelaki samseng itu sudah mula hilang sabar. Tangannya kejap memegang kayu besbol yang dia letakkan di atas bahu kanannya. “Berani kau kan? Disebabkan kaulah adik aku sekarang kena pindah sekolah lain!”
Budak lelaki yang dibuli itu menghela nafasnya perlahan lalu menjungkitkan bahunya. “Itu bukan masalah aku.”
“Kurang ajar punya budak!” Dia menarik kolar baju budak lelaki yang masih lagi dengan muka selamba itu lalu menghayunkan kayu besbolnya ke arah budak lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.
“Berhenti!” Nadhrah menjerit dari jauh dengan telefon bimbitnya di dalam tangan. Dia berlari-lari anak ke arah budak lelaki itu dengan perasaan berdebar. Kalau aku kena pukul nanti macam mana? Mati aku!
Namun, dia tidak menghiraukan semua andaian itu dan menggagahkan kakinya dan berhadapan dengan semua budak lelaki itu. Dia mengangkat telefon bimbitnya ke udara dengan tangan terketar-ketar. “Kalau ka.. kau pukul budak tu, aku ha.. hantar gambar ni dekat ba.. lai polis!” Gadis itu menambah dengan berani.
Lima orang budak lelaki tadi mulai cuak dan membuat keputusan untuk mengangkat kaki mereka dan beredar dari situ meninggalkan Nadhrah bersama dengan budak lelaki yang dibuli tadi.
“Adik okey? Kenapa tak lawan balik bila dia orang buat adik macam tu?” Nadhrah khuatir melihat keadaan budak lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Baju dan seluar budak lelaki itu kelihatan kotor sekali akibat ditolak ke atas padang oleh kaki samseng tadi.
Budak lelaki itu hanya tersenyum lemah. “Kalau saya melawan, saya akan jadi sama je macam dia orang. Tak ada beza. Walaupun saya tak salah.” Dia membetulkan kolar bajunya lalu mengangkat beg yang terbaring di atas padang.
Nadhrah mengukir senyumn. Pretty smart for a kid this age. “Dia orang ada curi apa-apa ke? Dia orang ada pukul adik?” Nadhrah menanya lagi sambil memeriksa keadaan budak lelaki itu. Risau juga kalau ada benda yang hilang.
Geleng. “Tak ada apa yang hilang. Terima kasih sebab sudi tolong saya.” Dia menundukkan kepalanya ke arah Nadhrah tanda menghormati gadis itu lalu berjalan pergi.
Nadhrah melihat sahaja budak lelaki itu hilang daripada pandangannya. “Wait!” Dia memanggil budak lelaki itu semula selepas lama mendiamkan diri. Budak lelaki itu berhenti lalu menoleh semula ke belakang. “Nama akak Nadhrah. What’s your name?” Sempat lagi gadis itu menanya.
Budak lelaki itu tersenyum manis. “Raffi.”
*******
12 tahun kemudian..
Nadhrah berjalan masuk ke dalam kedai kopi Starbucks dengan pantas. Kasut tumit tinggi yang dipakai langsung tidak membataskan pergerakannya. Sekelip mata dia tiba di kaunter dan terus membuat pesanan. “One iced vanilla latte and one spinach and feta breakfast wrap please.” Matanya meliar ke setiap pelosok ruang kedai kopi itu.
“Yes, miss. Be right up in three minutes.” Pelayan lelaki itu menekan sesuatu pada skrin komputer itu lalu mengukir satu senyuman buat pelanggan yang sedang berdiri di hadapannya.
Nadhrah tidak membalas senyuman itu. Fokusnya ditumpukan kepada fail-fail yang berada di dalam pegangannya. Dibuka satu fail lalu dibaca dengan teliti sambil menunggu pesanannya siap. Bibirnya terkunci tidak bersuara. Pukul sembilan pagi nanti dia harus ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan tentang kes pencurian suratkhabar oleh seorang pakcik tua. Sudah semestinya dia tidak punyai masa untuk makan pagi di kedai kerana itulah dia mengambil keputusan untuk ke Starbucks sahaja dan makan sewaktu di dalam LRT nanti.
“Miss.”
Nadhrah mengangkatkan wajahnya lalu memandang pelayan lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Dia menghulurkan sandwich dan air yang dipesan oleh Nadhrah tadi sambil melihat semula ke arah skrin komputer. “RM 16.70 only.” Dia menyambung lagi.
Nadhrah membawa keluar beg dompetnya dari dalam beg tangan lalu dihulurkan dua keping not berwarna merah kepada pelayan lelaki itu. Setelah mendapat wang bakinya, dia simpan semula beg dompet itu ke dalam beg. “Thank you.”
Pelayan lelaki itu hanya menundukkan kepalanya tanda hormat.
Nadhrah mengangkat kakinya lalu beredar dari situ. Penyedut minuman disuakan ke mulut lalu dia menyedut air vanila latte itu perlahan-lahan. Dia terasa nyaman saat air sejuk itu melalui tekaknya. Nadhrah tersenyum gembira. Kepalanya ditolehkan ke kiri dan ke kanan kemudian dia mengerling ke arah jam yang digantung di suatu sudut di ruang menunggu LRT itu.
Ada lagi tiga minit. Dia kembali membuka fail yang mengandungi bahan kesnya tadi lalu menyambung pembacaannya semula. Itulah rutin hariannya. Nadhrah berpeluang untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi sebaik sahaja mendapat keputusan yang cemerlang hasil daripada titik peluhnya sewaktu mengambil SPM dahulu.
Walaupun dia mendapat biasiswa penuh, Nadhrah membuat keputusan untuk tinggal di Malaysia dan melanjutkan pelajarannya di universiti tempatan sahaja. Dia berpendapat yang tenaga pengajar di negaranya juga tidak kurang hebatnya. Daripada dia pergi ke luar negara dan terpaksa meninggalkan Puan Aisyah sendirian di Malaysia, lebih baik dia tinggal di situ dan belajar bersungguh-sungguh. Sudah hampir lima tahun Nadhrah bekerja sebagai seorang peguam bela awam di ibu negara itu.
Dia tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat masters kerana kekangan wang. Nak harapkan gaji sebagai peguam bela awam bukannya banyak mana pun. Harapan Nadhrah yang satu itu terpaksa ditangguhkan dahulu.
Kini, pada usia 29 tahun, Nadhrah sudah berjaya meletakkan namanya antara yang paling berjaya jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain. Laila dan Mira kini sudah pun mendirikan rumah tangga. Laila baru sahaja menimang cahaya matanya yang kedua tiga bulan lepas dan Mira kini sedang mengandung anaknya yang sulung.
Tetapi, itu semua tidak mematahkan semangat Nadhrah. Dia hidup untuk berkhidmat kepada masyarakat. Hal kahwin boleh fikir lain kali. Nadhrah sudah berkahwin dengan undang-undang dan tiada sesiapa dapat mengubah kenyataan itu.
KRING! KRING!
Nadhrah menyeluk poket seluar slack yang dipakainya lalu menarik keluar telefon bimbit jenama Lenovo. Ditekannya skrin telefon bimbit itu dengan lembut. “Ye, mak.” Dia menyelak ke muka surat lain setelah habis membaca muka surat itu.
Puan Aisyah tersenyum di hujung talian. “Anak mak nak ke tempat kerja dah ke?” Dia menanya sambil tangannya sibuk menguli doh untuk membuat biskut cip coklat. Telefon bimbitnya diletakkan di tepi telinga sambil disokong oleh bahu.
Nadhrah mengangguk perlahan. “Hmm, tengah tunggu LRT lah ni. Kenapa mak telefon Nad ni? Jarang sangat mak nak telefon Nad awal-awal pagi macam ni.” Dia menutup failnya saat melihat LRT sudah hampir sampai di hentian. Dia bangun daripada duduknya.
Puan Aisyah mencebik. “Mak tengah buat biskut ni. Makcik Sari kau nak ambil petang nanti. Amboi, nak telefon anak sendiri pun dah tak boleh ke?” Dia mencekak pinggangnya lalu meletakkan doh biskut tadi ke dalam peti ais.
Nadhrah tersenyum. “Isy, mak ni. Bukannya Nad tak bagi mak telefon.” Matanya melilau mencari tempat duduk kosong untuk dia melabuhkan punggungnya setelah melangkah masuk ke dalam ruang komuter itu.
“Nadhrah?” Puan Aisyah memanggil setelah lama anaknya mendiamkan diri.
“Hmm..” Nadhrah masih lagi sibuk membaca bahan bukti yang terkandung di dalam fail kuningnya itu. Sesekali dia menoleh ke kiri dan kanan untuk melihat penumpang lain yang rata-ratanya sibuk memandang skrin telefon bimbit masing-masing.
“Mak nak kenalkan kamu dengan seseorang. Boleh ye?” Puan Aisyah menjelirkan lidahnya sedikit dengan harapan yang Nadhrah akan bersetuju dengan cadangannya. Risau juga dia melihat Nadhrah yang masih lagi tidak berkahwin. Anaknya itu sudah hampir masuk angka tiga puluh. Dia sudah tidak larat untuk mendengar jiran-jirannya menggelar Nadhrah anak dara tua.
Nadhrah menghela nafasnya perlahan. Balik-balik hal ni.. “Tak payahlah mak. Bukannya Nad nak kahwin sekarang.” Dia sudah lali dengan rancangan ibunya itu. Nadhrah tahu yang ibunya risau akan dirinya yang masih lagi tidak berkahwin walaupun sudah mencecah lewat 20-an. Tetapi, itulah hakikatnya. Hati Nadhrah sudah dimiliki oleh undang-undang! Sudah tidak ada ruang untuk orang lain.
“Nad tak malu ke bila orang-orang kampung panggil Nad ni anak dara tua?” Puan Aisyah cuba memancing. Dia benar-benar ingin melihat anaknya itu naik pelamin sebelum dia meninggalkan dunia ini.
Nadhrah tersenyum sinis. “Nad malu ke mak yang rasa malu sekarang ni?” Dia tahu yang ibunya bercakap bagi pihak dirinya sendiri tetapi bukan Nadhrah.
Puan Aisyah terdiam.
“Biarlah orang nak cakap apa pun mak. Nad boleh buat tuntutan saman malu untuk mak kalau dia orang cakap macam-macam lagi.” Nadhrah menyambung.
Puan Aisyah mencekak pinggangnya sekali lagi. “Nad ingat mak ni main-main ye?” Dia bengang. Nadhrah memang begitu. Kalau dibuka tentang hal kahwin, pasti ada je yang ditentangnya. Puan Aisyah sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan anak gadisnya itu tidak mahu berkahwin.
Fail yang dibaca tadi ditutupnya. Nadhrah menarik nafasnya sedalam mungkin. “Nad bukan tak nak kahwin mak. Tapi, bukan masa dia lagi. Fokus Nad sekarang ni cuma pada kerjaya Nad je. Nad harap mak faham.” Dia tidak berniat untuk mengecewakan hati ibunya tetapi perihal kahwin memang tidak ada dalam perancangan hidupnya buat masa ini.

Comments

Anonymous said…
Shazeeee, cepat sambung!! Mesti comel je kalau Raffi dengan Nad. Heheee ♡♥

~ Cik Ubi ~
Stupendulous said…
Best! ;)