Sinopsis Mahkamah Cinta


Nur Nadhrah seorang gadis yang periang. Walaupun berasal dari keluarga yang tidak berkemampuan daripada segi wang, itu semua tidak membataskan pergerakan Nadhrah dalam mengejar cita-citanya demi menjadi seorang peguam yang berjaya. Sering diejek kerana masih lagi belum mendirikan rumahtangga walaupun usianya sudah menghampiri lewat 20-an, Nadhrah tidak pernah ambil peduli. Dia sudah berkahwin dengan undang-undang! Tambahan pula, dia benci lelaki!
 
“Nad bukan tak nak kahwin mak. Tapi, bukan masa dia lagi. Fokus Nad sekarang ni cuma pada kerjaya Nad je. Nad harap mak faham.”

Aiman Suffi mencintai gadis itu. Sejak kali pertama dia melihat Nadhrah melangkah masuk ke dalam ruang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hatinya sudah terpaut. Tetapi Aiman tidak mahu meluahkan perasaannya. Dia tahu yang Nadhrah bencikan lelaki! Dia tidak mahu persahabatannya dengan Nadhrah terjejas kerana perasaannya. Cukuplah sekadar dia mencintai gadis itu dalam diam dan dari jauh.

“Eei, aku cukup tak fahamlah dengan kau ni. Kerja kau dalam pejabat ni mengelamun je. Tapi, macam mana kau boleh asyik menang dalam court eh?”

Kehadiran Ahmad Raffi sebagai peguam baru di dalam firma itu membuatkan kedudukan Nadhrah tergugat. Semenjak kedatangan lelaki yang umurnya lima tahun lebih muda daripadanya itu, hidup Nadhrah tidak senang. Ada sahaja yang akan mereka berdua balahkan jika bertentang mata. Raffi tidak pernah menggunakan gelaran formal apabila bersua muka dengan wanita itu. Pada Raffi, pengalaman bekerja tidak penting jika perangai masih lagi macam budak-budak! Itulah cara dia menjelaskan watak Nadhrah.

“Awak jangan ingat sebab saya lebih muda daripada awak, saya tak arif dalam bidang ni. Kalau awak nak saya hormat awak, awak pun kena belajar hormat saya juga!”

Fikiran Nadhrah semakin bercelaru saat ibunya dari kampung sering menelefon dan bertanya akan perihal perkahwinan. Dia diberi masa sebulan untuk mencari pilihan hatinya atau dia akan dijodohkan dengan mana-mana pemuda kampung pertama yang merisiknya nanti. Nadhrah bengang saat mendapat tahu yang ibunya sudah menerima lamaran seorang lelaki yang tidak dia kenali selepas sebulan berlalu tanpa dia membawa pilihan hatinya.

Soalnya, siapa yang telah melamar Nadhrah? Aiman Suffi yang sudah lama menaruh hati padanya ataupun Ahmad Raffi yang amat dia benci dan langsung tidak boleh bersua muka? Dapatkah Nadhrah mengikhlaskan hatinya untuk menerima kehadiran lelaki itu di dalam hidupnya? Dapatkah Nadhrah mempercayai cinta?



AKAN DATANG FEBRUARI 2014! INSYALLAH.

Comments